MTL: 333 anggota APM Labuan siap siaga

Foto RTM

LABUAN, 3 November – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Labuan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan bencana sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) menerusi mobilisasi kekuatan anggota, aset dan logistik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seramai 333 anggota dengan sokongan hampir 200 anggota simpanan bersedia digerakkan bagi operasi menyelamat dan pengurusan bencana.
  • Penugasan anggota dilaksanakan mengikut tiga kitaran 24, 48 dan 72 jam untuk memastikan bantuan diteruskan secara berperingkat.
  • Risiko utama termasuk banjir kilat, tanah runtuh dan air pasang besar; penduduk 15 kawasan titik panas dinasihatkan sediakan beg kecemasan.
  • APM Labuan membangunkan Dashboard sebagai pusat maklumat bencana untuk Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Labuan.

Seramai 333 anggota dengan sokongan hampir 200 anggota simpanan bersedia digerakkan bagi melaksanakan operasi menyelamat dan pengurusan bencana di pulau itu.

Pegawai Pertahanan Awam APM Labuan, Mejar (PA) Wan Mohd Jabir Wan Mohd Badrudin berkata, penugasan anggota akan dilaksanakan mengikut tiga kitaran, iaitu 24, 48 dan 72 jam bagi memastikan operasi bantuan dapat diteruskan secara berperingkat.

“Kita turut membuat persediaan dari segi aset, logistik dan tenaga kerja. Semua aset yang disediakan adalah bersesuaian dengan kemampuan kita untuk menghadapi bencana Monsun Timur Laut serta memastikan anggota dapat digerakkan sepenuhnya bagi membantu menangani sebarang insiden bencana, khususnya di Labuan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas bersiaran menerusi LabuanFM.

Katanya, antara risiko bencana yang berpotensi berlaku di Labuan ialah banjir kilat, tanah runtuh serta fenomena air pasang besar di kawasan pesisir pantai.

Sehubungan itu, penduduk khususnya yang tinggal di 15 kawasan titik panas berisiko banjir dinasihatkan menyediakan beg kecemasan lebih awal sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

Dalam perkembangan lain, APM Labuan turut membangunkan Dashboard APM Labuan yang bakal berfungsi sebagai pusat informasi bencana bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan.

MTL yang bermula pada 27 Oktober lalu dijangka berterusan sehingga Mac 2027.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.