
IPOH, 2 November – Sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang menyasarkan mangsa di Jerman tumpas menerusi operasi di sebuah rumah di Anjung Bercham Utama, di sini.
- Lima lelaki warga China ditahan; umur antara 26 dan 43 tahun, ditangkap pada 30 Oktober.
- Premis dipercayai dijadikan pusat panggilan sejak September; sindiket guna WhatsApp dan gambar wanita menarik untuk menghubungi mangsa secara rawak.
- Polis merampas lima komputer, 10 telefon, empat router (anggaran RM25,000); suspek direman empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 420, 120B dan Imigresen.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin dalam kenyataan memaklumkan, lima lelaki warga China berusia antara 26 hingga 43 tahun ditahan dalam operasi pada 30 Oktober lalu.
“Siasatan awal mendapati premis itu dipercayai dijadikan pusat panggilan penipuan sejak September lalu.
“Sindiket menggunakan aplikasi WhatsApp dan gambar wanita berpenampilan menarik untuk menghubungi mangsa secara rawak,” menurut kenyataan itu.
Mangsa kemudian dipujuk menyertai pelaburan yang didakwa melibatkan syarikat berpangkalan di Jerman dengan tawaran keuntungan tinggi, sebelum diminta membuat bayaran berulang kali.
Dalam operasi kira-kira pukul 6.30 petang itu, polis merampas lima komputer, 10 telefon bimbit dan empat unit router yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM25,000.
Kesemua suspek direman empat hari hingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.