Institusi bank digesa teroka pembiayaan harta intelek

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 2 November – Institusi perbankan digesa memperluas penawaran pembiayaan berasaskan harta intelek (IP) bagi membuka akses pembiayaan kepada syarikat yang mempunyai aset tidak ketara.

RINGKASAN BERITA AI
  • MIDF menerajui inisiatif menunjukkan pembiayaan IP boleh dilaksanakan dengan kerangka, kontrak dan rakan teknikal bagi mengesahkan teknologi.
  • Harta intelek seperti jenama, reka bentuk dan teknologi boleh dinilai komersial untuk dijadikan cagaran mendapatkan pembiayaan.
  • Program rintis MIDF dan WIPO menjadikan Malaysia antara negara terawal melaksanakan pembiayaan berasaskan IP secara global.
  • Projek meluluskan dua kemudahan pembiayaan IP kepada Christy Ng dan Magic Food bernilai keseluruhan RM10 juta.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, usaha itu penting bagi menggalakkan lebih banyak bank mengiktiraf IP sebagai cagaran, selain aset konvensional seperti tanah, rumah dan hartanah.

Menurut beliau, IP yang boleh dimanfaatkan termasuk jenama, reka bentuk dan teknologi yang mempunyai nilai komersial, seterusnya membolehkan syarikat menggunakan hasil inovasi masing-masing untuk mendapatkan pembiayaan.

“Saya fikir kebanyakan bank masih belum mengetahui pendekatan baharu ini. Sebab itu Lembaga Pemajuan Perindustrian Malaysia (MIDF) mengambil inisiatif untuk menerajui usaha ini dan menunjukkan kepada bank lain bahawa pembiayaan berasaskan harta intelek boleh dilaksanakan.

Ini terutamanya dalam menunjukkan pembiayaan ini boleh dilaksanakan,dengan adanya kerangka kerja, kontrak serta kerjasama rakan teknikal bagi mengesahkan teknologi. Saya percaya inisiatif ini dapat menjadi contoh kepada bank lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Laporan Akhir Projek Rintis Pembiayaan Berasaskan Harta Intelek (IP) MIDF dan Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO) di sini, hari ini.

Tambah beliau, pembiayaan berkenaan turut membuka peluang kepada syarikat untuk mendapatkan dana bagi menyokong aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), meningkatkan teknologi serta memperluas pasaran.

Menerusi program itu, MIDF dan WIPO berjaya melaksanakan projek rintis pembiayaan IP pertama di peringkat global, sekaligus menjadikan Malaysia antara negara terawal meneroka penggunaan inisiatif itu dalam penilaian pembiayaan.

Antara pencapaian utama projek itu ialah kelulusan dua kemudahan pembiayaan berasaskan IP pertama oleh MIDF kepada Christy Ng dan Magic Food Sdn. Bhd., syarikat pengeluar jenama yogurt Sunglo, dengan nilai pembiayaan keseluruhan RM10 juta.

Kelulusan itu membuktikan aset tidak ketara seperti IP boleh digunakan dalam penilaian pembiayaan serta membolehkan syarikat tempatan memanfaatkan nilai jenama dan inovasi untuk mengembangkan perniagaan.

Selain kelulusan pembiayaan, projek rintis itu turut menghasilkan kerangka kerja praktikal merangkumi penilaian aset tidak ketara, tadbir urus, dokumentasi perundangan, penilaian risiko dan pemantauan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.