
DUNGUN, 1 November – Kira-kira 3000 penduduk di lima buah kampung di Hulu Dungun, Terengganu bakal menarik nafas lega selepas pembinaan jambatan baharu dijangka siap sepenuhnya pada Mac tahun hadapan.
- Pembinaan jambatan bernilai kira-kira RM13 juta dijangka mengatasi masalah terputus hubungan penduduk semasa banjir.
- Jambatan sepanjang 400 meter di Kampung Jongok Batu menjadi laluan alternatif apabila laluan utama terjejas.
- Penggunaan bot semasa banjir berisiko; jambatan baru tingkatkan keselamatan, lancarkan urusan kecemasan dan penghantaran bantuan.
Pembinaan jambatan baharu bernilai kira-kira RM13 juta itu bakal menyelesaikan masalah penduduk terbabit yang selama ini berdepan masalah terputus hubungan setiap kali apabila musim banjir melanda.
Jambatan sepanjang 400 meter yang dibina di Kampung Jongok Batu itu bakal menjadi laluan alternatif kepada penduduk kampung berhampiran apabila laluan utama terjejas setiap kali banjir berlaku.
Situasi tersebut turut menyukarkan aktiviti penyelarasan dan penghantaran bantuan kepada penduduk terjejas banjir di kawasan itu terutama ketika air Sungai Dungun melimpah.
Penduduk, Mohd Azrol Md Yazid berkata, dengan adanya jambatan baharu itu nanti, urusan kecemasan dijangka dapat dilaksanakan dengan lebih lancar selain memberi pilihan laluan yang lebih
selamat kepada penduduk.
“Alhamdulillah, masalah perhubungan yang sebelum ini menjejaskan pergerakan penduduk kini dapat diatasi. Kami boleh bergerak seperti biasa walaupun ketika musim tengkujuh atau banjir, sekali gus memudahkan urusan penghantaran bantuan kepada penduduk,” katanya.
Sebelum ini, penduduk terpaksa menyeberangi Sungai Dungun untuk ke kampung berhampiran apabila jalan darat ditenggelami banjir.
Bagi Zaari Mohamad, keadaan banjir sebelum ini menyukarkan pergerakan penduduk untuk keluar ke bandar, selain menjejaskan urusan mendapatkan bantuan.
“Keadaan sebelum ini menyukarkan kami untuk keluar dari kawasan kampung, termasuk ke bandar dan mendapatkan bantuan. Ketika itu, bot menjadi satu-satunya pengangkutan yang boleh digunakan,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Shamsudin Salleh berkata, penggunaan bot ketika musim banjir turut mengundang risiko keselamatan berikutan keadaan arus sungai yang deras.
“Kebiasaannya, kami terpaksa menggunakan bot untuk keluar dari kawasan ini. Namun, perjalanan itu berisiko kerana keadaan air sungai yang deras dan sukar dijangka,” katanya.