Junior Innovathon angkat potensi inovator muda

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 1 November – Empat kumpulan inovator muda dinobatkan sebagai juara Junior Innovathon Musim Kedua 2026, sekali gus membuktikan kreativiti dan keupayaan mencipta inovasi tidak dibatasi usia mahupun keupayaan fizikal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyertaan inklusif MBPK membuktikan kebolehan mereka bersaing dan menyumbang inovasi berimpak kepada masyarakat.
  • Hadiah tunai dan ganjaran lain diberikan kepada juara kategori terbuka dan MBPK, mengiktiraf usaha serta mendorong pembangunan projek sekolah.
  • Pertandingan menonjolkan peranan sekolah dan guru sebagai tapak permulaan, memupuk budaya mencipta dan penyelesaian inovatif tanpa mengira latar belakang.

Lebih bermakna, edisi kali ini turut menampilkan penyertaan inklusif Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK), yang berjaya membuktikan kemampuan mereka bersaing dan menghasilkan inovasi berimpak kepada masyarakat.

Dalam kategori MBPK, Kumpulan Skabachytrothinkers dari Sekolah Kebangsaan (SK) Air Baruk, Melaka, muncul juara sekolah rendah menerusi inovasi Smart Helper.

Manakala kategori sekolah menengah dimenangi Kumpulan SMKPKB5 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Bumbung Lima, Pulau Pinang, menerusi produk Beg Dada Ilmu (BL-MU).

Kedua-dua kumpulan masing-masing membawa pulang wang tunai RM8,000 berserta peranti mudah alih, trofi dan sijil penghargaan.

Bagi kategori terbuka, Kumpulan Skedar Royals dari SK Bandar, Selangor, dinobatkan juara sekolah rendah menerusi inovasi Coffee-Briq.

Sementara itu, Kumpulan Robotiyaz dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Abdullah Ahmad Badawi, Pulau Pinang, memenangi kategori sekolah menengah menerusi produk Roadbloc.

Kedua-dua juara kategori terbuka masing-masing menerima wang tunai RM40,000, selain peranti mudah alih, trofi dan sijil penghargaan.

Dalam pada itu, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, penyertaan bagi musim kedua itu melepasi jangkaan awal, khususnya menerusi penglibatan MBPK yang memperlihatkan potensi besar golongan berkenaan dalam bidang inovasi.

Menurut beliau, peluang menyertai pertandingan itu terbuka kepada semua tanpa mengira latar belakang atau keupayaan, sekali gus memastikan tiada golongan yang tercicir daripada ekosistem inovasi negara.

Idea dan produk yang dipertandingkan merupakan hasil usaha sama murid dan guru yang digilap dalam tempoh enam hingga 12 bulan, sebelum diketengahkan di pentas akhir.

Pencapaian itu bukan sekadar melahirkan juara, malah membuktikan institusi pendidikan mampu menjadi tapak permulaan kepada pembangunan idea kreatif dan penyelesaian inovatif yang memenuhi keperluan masyarakat.

Junior Innovathon 2026 sekali lagi mengangkat potensi generasi muda sebagai pemacu inovasi negara, selain memperkukuh budaya mencipta, mencuba dan menghasilkan perubahan tanpa mengira batas keupayaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.