Insomniacks buka lembaran baharu, album sulung dapat sambutan hangat

Foto Universal Music Group

KUALA LUMPUR, 3 November – Kumpulan muzik Insomniacks membuka lembaran baharu dalam perjalanan seni mereka menerusi pelancaran album sulung, KAMI INSOMNIACKS, yang diraikan dengan siri jelajah khas bagi mendekatkan karya terbaharu mereka kepada peminat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jelajah berakhir di Kuala Lumpur dengan tiket showcase di KL dan Johor habis terjual, termasuk 1,800 tiket di KL.
  • Persembahan penutup menampilkan Yonnyboii, Xone dan Irfan Haris sebagai artis jemputan memeriahkan malam.
  • Jelajah memberi pengalaman bermakna melihat reaksi Maniacks, menjadi pemangkin kerjaya dan menantikan peluang menjadi pembuka untuk 5 Seconds of Summer.

Jelajah yang berakhir di Kuala Lumpur mencatat kejayaan membanggakan apabila tiket showcase di ibu negara dan Johor habis terjual, termasuk 1,800 tiket bagi persembahan di Kuala Lumpur.

Lebih istimewa, persembahan penutup berkenaan turut menampilkan Yonnyboii, Xone dan Irfan Haris sebagai artis jemputan, sekali gus memeriahkan malam meraikan perjalanan album sulung kumpulan itu bersama peminat yang dikenali sebagai Maniacks.

Menurut Insomniacks, jelajah berkenaan memberi pengalaman bermakna apabila mereka berpeluang mempersembahkan lagu-lagu daripada album tersebut secara langsung buat pertama kali, selain menyaksikan sendiri reaksi dan penerimaan pendengar.

Kumpulan itu menyifatkan detik menyaksikan peminat menyanyi bersama serta menghayati lagu-lagu yang dihasilkan sebagai antara pengalaman paling istimewa sepanjang siri persembahan berkenaan.

“Setiap lokasi mempunyai suasana dan kenangan tersendiri, namun keseluruhan perjalanan jelajah serta sokongan Maniacks menjadi memori yang paling berharga.

“Meskipun berasa sedikit sayu apabila jelajah berakhir, kumpulan itu berharap dapat kembali mengadakan lebih banyak persembahan dan bertemu peminat dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.

Dalam perkembangan lain, Insomniacks turut menantikan peluang untuk menjadi artis pembuka kepada kumpulan antarabangsa, 5 Seconds of Summer, yang disifatkan sebagai satu pengalaman cukup bermakna dalam perkembangan kerjaya muzik mereka.

Kejayaan pelancaran album dan sambutan sepanjang jelajah itu menjadi pemangkin buat Insomniacks untuk terus mengorak langkah ke fasa seterusnya dalam perjalanan muzik mereka bersama Maniacks.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.