Kolam tadahan sementara kurangkan banjir kilat – DS Ramanan

Foto RTM

SHAH ALAM, 3 November – Kerajaan bercadang membina kolam tadahan sementara di Kampung Melayu Subang bagi mengurangkan kejadian banjir kilat berulang di kawasan itu sementara menunggu projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) siap sepenuhnya pada 2029.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri mengarahkan pelaksanaan penyelesaian segera bagi mengurangkan kesan banjir kilat yang semakin kerap berlaku.
  • Kolam tadahan berfungsi menampung lebihan air hujan dan mengurangkan impak banjir, namun tidak menghapuskan risiko sepenuhnya.
  • Kawasan terjejas mengalami banjir kilat berulang dalam tempoh 30 hari, menunjukkan masalah kronik terutama menjelang penghujung tahun.

Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R. Ramanan berkata, langkah sementara itu susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya penyelesaian segera dilaksanakan bagi mengurangkan kesan banjir kilat yang semakin kerap berlaku.

Menurutnya, kolam tadahan berkenaan berfungsi menampung lebihan air hujan sekali gus mengurangkan impak banjir, meskipun tidak dapat menghapuskan sepenuhnya risiko kejadian itu.

“Projek RTB mungkin hanya siap pada 2029. Namun, buat masa ini Perdana Menteri telah mengarahkan supaya satu penyelesaian sementara dilaksanakan, antaranya dengan membina kolam tadahan.

“Kolam tadahan itu boleh menampung lebihan air dan bukan menghentikan banjir sepenuhnya, tetapi sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kejadian banjir yang berlaku,” katanya kepada pemberita selepas lawatan Perdana Menteri ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Siantan, Kampung Melayu Subang, hari ini.

Mengulas lanjut, Ramanan berkata kawasan berkenaan telah dilanda banjir kilat sebanyak empat kali dalam tempoh 30 hari, termasuk tiga kejadian pada bulan lalu dan satu lagi pada awal November ini.

“Kita sedang mencari penyelesaian bagi mengatasi kejadian banjir kilat yang berulang ini. Dalam tempoh 30 hari, kawasan ini telah dilanda banjir sebanyak empat kali, dengan tiga kejadian berlaku bulan lalu dan satu lagi pada awal November.

“Malah, belum sampai dua hari November bermula, banjir kilat sudah kembali berlaku. Kejadian ini sememangnya berulang setiap kali menjelang penghujung tahun,”katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.