
GUA MUSANG, 3 November- Sebanyak 210 kotak rokok seludup bernilai RM1.8 juta dan 208 mesin perlombongan Bitcoin dilupuskan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang selepas kesemua barang rampasan itu mendapat perintah mahkamah.
- IPD Gua Musang melupuskan rokok seludup dan mesin perlombongan Bitcoin sebagai tindakan terhadap barang kes.
- Mesin Bitcoin diserah kepada pengurusan sisa e-waste; rokok seludup ditanam di tapak pelupusan sampah Majlis Daerah.
- Polis menasihatkan sindiket hentikan perlombongan haram dan penyeludupan rokok kerana merosakkan harta TNB dan merugikan hasil kerajaan; tindakan tegas akan diambil.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata rampasan berkenaan dilakukan menerusi beberapa operasi antara 2021 hingga 2023.
Beliau berkata mesin perlombongan Bitcoin akan diserahkan kepada pihak pengurusan sisa elektrik dan elektronik (e-waste) untuk dilupuskan, manakala rokok seludup akan ditanam di tapak pelupusan sampah Majlis Daerah Gua Musang.
Mengulas kegiatan perlombongan Bitcoin secara haram, beliau menasihatkan sindiket terbabit supaya menghentikan kegiatan itu kerana boleh merosakkan harta benda Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta menyebabkan kerugian kepada kerajaan akibat penggunaan elektrik.
“Pihak polis ingin menasihatkan sindiket yang melakukan perlombongan Bitcoin supaya menghentikan kegiatan ini kerana ia bukan sahaja merosakkan harta benda TNB, malah merugikan kerajaan dari segi hasil penggunaan elektrik.
“Bagi penyeludup rokok, nasihat polis supaya menghentikan kegiatan ini. Sekiranya tidak, tindakan tegas akan diambil,” katanya dalam sidang media.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelupusan Barang Kes Bitcoin dan Barangan Elektronik di IPD Gua Musang, di sini, hari ini.
Sik Choon Foo berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.