DEFA buka peluang pasaran baharu kepada syarikat Malaysia

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin

KUALA LUMPUR, 3 November – Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) yang dijadual ditandatangani bulan ini bakal membuka peluang lebih luas kepada syarikat Malaysia untuk mengembangkan perniagaan serta memasarkan produk dan perkhidmatan ke pasaran serantau yang merangkumi kira-kira 690 juta penduduk.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan galakkan syarikat Malaysia teroka pasaran ASEAN termasuk Filipina, Indonesia, Thailand, Vietnam khususnya sektor perbankan dan teknologi maklumat.
  • Pembukaan pasaran serantau meningkatkan persaingan apabila syarikat ASEAN lain berpeluang tawarkan produk dan perkhidmatan di pasaran domestik.
  • Perjanjian dijangka meningkatkan aktiviti perdagangan dan perniagaan tahun hadapan serta membuka lebih banyak peluang serantau.
  • Malaysia perlu perkukuh kepakaran tempatan, bina tenaga kerja teknikal dan beralih kepada perkhidmatan bernilai tinggi seperti AI, kejuruteraan dan tadbir urus data.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, kerajaan menggalakkan syarikat tempatan meneroka pasaran ASEAN, termasuk Filipina, Indonesia, Thailand dan Vietnam, khususnya dalam sektor perbankan serta teknologi maklumat.

Menurut beliau, pembukaan pasaran serantau turut meningkatkan persaingan apabila syarikat dari negara anggota ASEAN lain berpeluang menawarkan produk dan perkhidmatan mereka di pasaran domestik.

“Saya percaya perjanjian ini akan membuka lebih banyak peluang kepada negara kita dan negara jiran.

“Saya juga yakin DEFA akan meningkatkan aktiviti perdagangan dan perniagaan pada tahun akan datang,” katanya ketika berucap pada ASEAN International Fair for Trade in Services (AIFTIS) 2026 yang berlangsung bersempena China-Malaysia Intelligent Industry Expo (CMIIE), di sini.

Sementara itu, Sim menjangkakan perdagangan perkhidmatan Malaysia terus mencatat pertumbuhan kukuh pada 2026, didorong antaranya oleh perkembangan aktiviti berkaitan pusat data.

“Pada 2025, jumlah perdagangan perkhidmatan negara mencecah RM550.5 bilion, dengan eksport meningkat 15.6 peratus kepada RM277.9 bilion berbanding import sebanyak RM272.6 bilion.

“Prestasi itu menyumbang kepada lebihan dagangan perkhidmatan sebanyak RM5.3 bilion, sekali gus menjadi lebihan pertama Malaysia dalam sektor berkenaan sejak 2011,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia perlu memperkukuh kepakaran tempatan dan membangunkan tenaga kerja teknikal khusus bagi membolehkan lebih banyak syarikat menceburi aktiviti perkhidmatan berasaskan pengetahuan serta bernilai tinggi.

Sim turut menekankan kepentingan memperdalam integrasi serantau menerusi pengurangan halangan kawal selia, penyelarasan piawaian profesional dan pembangunan koridor digital bagi memudahkan pergerakan tenaga kerja antara negara ASEAN dan China.

“Kita perlu menjadikan perkhidmatan bernilai tinggi dan berkompleksiti tinggi sebagai teras ekonomi. Kita juga perlu beralih daripada proses transaksi asas kepada bidang seperti kejuruteraan, tadbir urus data kompleks, kecerdasan buatan gunaan, penciptaan harta intelek serta perundingan strategik,” jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.