IOIPG REIT sasar raih RM2.1 bilion menerusi IPO

Foto RTM

PUTRAJAYA, 3 November – IOI Properties Group Berhad (IOIPG) menyasarkan kutipan kira-kira RM2.1 bilion menerusi tawaran awam permulaan (IPO) bagi IOIPG Malaysia Real Estate Investment Trust (IOIPG REIT) pada harga 96 sen seunit.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tawaran membabitkan sehingga 2.2 bilion unit menjelang penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 25 November.
  • Penyenaraian dijangka meletakkan nilai permodalan pasaran IOIPG REIT kira-kira RM5.3 bilion.
  • Hasil IPO akan digunakan untuk membayar balik pinjaman sedia ada, mendapatkan semula perbelanjaan modal dan membiayai peluang pelaburan.
  • IOIPG REIT mengunjurkan hasil agihan 6.6 peratus dan menyasar sekurang-kurangnya 90 peratus pendapatan boleh agih diagihkan suku tahunan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOIPG, Datuk Lee Yeow Seng berkata, tawaran itu membabitkan sehingga 2.2 bilion unit menjelang penyenaraian IOIPG REIT di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 25 November ini.

Menurutnya, penyenaraian berkenaan dijangka meletakkan nilai permodalan pasaran IOIPG REIT pada kira-kira RM5.3 bilion.

“Saya berpendapat ini adalah masa terbaik kerana aset yang dimiliki ketika ini sudah berada pada tahap yang baik dan menjana pendapatan yang kukuh untuk kumpulan hartanah kami.

“Justeru, kami mahu berkongsi potensi pertumbuhan nilai aset ini dengan bakal pelabur. Itulah sebabnya kami memilih untuk melancarkan REIT ini sekarang,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Prospektus IPO IOIPG REIT, di sini, hari ini.

Mengulas penggunaan hasil IPO, Lee berkata dana yang diperoleh akan digunakan untuk membayar balik pinjaman sedia ada, mendapatkan semula perbelanjaan modal yang telah ditanggung serta membiayai peluang pelaburan pada masa hadapan.

Portfolio IOIPG REIT merangkumi sembilan hartanah dalam sektor peruncitan, perhotelan dan pejabat, dengan nilai keseluruhan RM7.66 bilion setakat 31 Mei 2026.

“Aset berkenaan terdiri daripada IOI City Mall, enam hotel iaitu Putrajaya Marriott Hotel, Le Méridien Putrajaya, Moxy Putrajaya, Four Points by Sheraton Puchong, W Kuala Lumpur dan Courtyard by Marriott Penang, selain dua aset pejabat, IOI City Towers dan PFCC Towers,” katanya.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2027, IOIPG REIT mengunjurkan hasil agihan sebanyak 6.6 peratus kepada pemegang unit, dengan sekurang-kurangnya 90 peratus daripada pendapatan boleh agih disasarkan untuk diagihkan secara suku tahunan.

Permohonan bagi tawaran runcit dan institusi dibuka mulai 3 November dan akan ditutup pada 10 November ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.