Perubahan dasar penapisan filem tidak ketepikan sensitiviti agama

Teo Nie Ching/ RTM

KUALA LUMPUR, 3 November- Perubahan dasar penapisan filem kepada sistem klasifikasi umur tidak bermakna kandungan filem bebas daripada penilaian, sebaliknya Lembaga Penapis Filem (LPF) masih mengambil kira aspek keagamaan, keselamatan, sosiobudaya serta ketertiban dan ketatasusilaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • LPF akan mendapatkan nasihat JAKIM dan agensi berkaitan semasa menilai kandungan bagi memastikan keharmonian masyarakat terpelihara.
  • Ahli Parlimen membangkitkan keperluan mekanisme penilaian sensitiviti agama susulan dasar membenarkan filem 18 tahun ke atas tanpa pemotongan.
  • Dasar baharu menukar pendekatan daripada pemotongan babak kepada sistem klasifikasi umur.
  • Perubahan diharap memberi ruang kepada penggiat filem mempamerkan karya lengkap dan meningkatkan daya saing antarabangsa.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata proses penilaian turut mengambil kira nasihat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan agensi berkaitan bagi memastikan filem yang ditayangkan tidak menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Penapisan filem dibuat oleh panel penapis LPF, dan saya percaya dalam membuat sesuatu penilaian, mereka turut mendapatkan nasihat daripada JAKIM dan agensi yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad di Dewan Rakyat berhubung mekanisme penilaian sensitiviti agama susulan perubahan dasar yang membenarkan filem kategori 18 tahun ke atas ditayangkan tanpa pemotongan babak tertentu.

Mengulas lanjut, Teo berkata perubahan pendekatan itu merupakan anjakan daripada kaedah pemotongan babak kepada sistem klasifikasi berdasarkan kesesuaian umur penonton.

Beliau berkata perubahan dasar berkenaan juga diharap dapat memberi ruang kepada penggiat industri perfileman tempatan menghasilkan karya dalam versi asal, sekali gus meningkatkan daya saing filem Malaysia di peringkat antarabangsa.

Sebagai contoh, beliau berkata filem tempatan “Tiger Shrimp” yang dipilih mewakili Malaysia ke Anugerah Oscar pernah ditayangkan di pawagam tempatan dengan beberapa babak dipotong.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pengarah filem berkenaan meluahkan kekecewaan kerana versi yang ditayangkan di Malaysia bukanlah karya lengkap seperti yang dihasilkannya.

“Agak pelik apabila sebuah filem boleh mewakili Malaysia di persada antarabangsa, tetapi penonton di negara ini tidak dapat menonton filem lengkap seperti yang ditayangkan di luar negara,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.