
RIYADH, 26 November – Gabungan tentera diketuai Arab Saudi mengesahkan sebuah peluru yang dilepaskan kumpulan Houthi pada Rabu mengenai pelabuhan di bandar Jazan, selatan negara itu.
- Peluru yang jatuh di Pelabuhan Jazan menyebabkan kerosakan kecil tanpa mencederakan orang awam.
- Usaha sedang dijalankan untuk mengenal pasti jenis peluru berkenaan.
- Houthi mendakwa menyerang pelabuhan Jeddah dan Jazan sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas pelabuhan di Yaman.
- Houthi turut mengaku bertanggungjawab terhadap serangan di Riyadh sehari sebelumnya yang mencederakan 11 orang.
Jurucakapnya, Turki al-Malki dalam hantaran di platform X memaklumkan peluru yang dilepaskan kumpulan dari Yaman itu jatuh di Pelabuhan Jazan, menyebabkan kerosakan kecil tanpa mengakibatkan sebarang kecederaan dalam kalangan orang awam.
Usaha sedang dijalankan bagi mengenal pasti jenis peluru berkenaan.
Sementara itu, Houthi mendakwa melancarkan serangan ke atas pelabuhan Jeddah dan Jazan di Arab Saudi, sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas sebuah pelabuhan di Yaman yang dikuasai kumpulan berkenaan.
“Kedua-dua operasi mengakibatkan kerosakan di lokasi yang menjadi sasaran,” kata jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree.
Kumpulan tersebut turut mengaku bertanggungjawab terhadap serangan sehari sebelumnya ke atas ibu negara Arab Saudi yang menyasarkan menara tertinggi di daerah kewangan Riyadh, sehingga mencederakan 11 orang.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Houthi melancarkan beberapa siri serangan terhadap sasaran di Arab Saudi, termasuk daerah kewangan, lapangan terbang, infrastruktur tenaga dan lokasi ketenteraan.
Gabungan tentera Arab Saudi pula terus menyerang kawasan di Yaman yang dikuasai Houthi bagi menyokong kerajaan yang diiktiraf masyarakat antarabangsa yang berperang dengan kumpulan itu untuk menguasai wilayah sejak perang saudara kembali tercetus pada Julai. -AFP