MITI teliti langkah perkukuh penguatkuasaan piawaian produk e-dagang

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR, 26 November – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan memperkukuh kerjasama dengan kementerian serta agensi berkaitan bagi memastikan produk import yang dijual menerusi platform e-dagang mematuhi standard dan pensijilan kualiti ditetapkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Produk import murah tanpa pensijilan, khususnya barangan elektrik, boleh mengancam keselamatan pengguna.
  • MITI berbincang dengan KPDN untuk meneliti tindakan terhadap platform yang gagal memastikan pematuhan standard produk.
  • Pemantauan perlu dipertingkat secara adil sambil mengimbangi pertumbuhan e-dagang, kos pensijilan pengeluar tempatan dan perlindungan pengguna.

Menterinya Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu penting bagi melindungi pengguna daripada produk import yang dijual pada harga murah tetapi tidak mempunyai pensijilan kualiti, khususnya barangan elektrik yang boleh mendatangkan risiko keselamatan.

“Pensijilan amat penting kerana terdapat pelbagai produk dari luar negara memasuki pasaran tempatan menerusi platform e-dagang yang sukar dikawal.

“Produk berkenaan dihantar dalam bentuk bungkusan dan dijual pada harga murah, namun tidak mempunyai pensijilan kualiti yang sewajarnya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sirim Industri 2026, di sini.

Menurut beliau, isu berkenaan turut dibincangkan dengan pihak berkaitan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi meneliti tindakan sewajarnya terhadap platform yang gagal memastikan pematuhan standard produk.

Katanya, kemasukan barangan dari luar negara menerusi pembelian dalam talian perlu dipantau dengan lebih berkesan bagi mengelak pengguna menerima produk yang tidak berkualiti atau berpotensi membahayakan keselamatan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan usaha memperketat piawaian perlu dilaksana secara adil kepada pengeluar tempatan yang turut menanggung kos pensijilan bagi memastikan produk mereka memenuhi keperluan kualiti.

Keseimbangan antara menggalakkan pertumbuhan e-dagang dengan melindungi kepentingan pengguna penting bagi memastikan rakyat mendapat produk yang berkualiti serta berbaloi dengan harga dibayar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.