
BANGI, 3 November – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menjalinkan kerjasama strategik bagi membangunkan hab sains sawit menerusi inisiatif ‘Palm Science Park’ dan Pusat Kecemerlangan Sawit, sekali gus memperkukuh penyelidikan, inovasi serta pembangunan teknologi berimpak tinggi dalam industri sawit negara.
- Fokus pada teknologi berimpak tinggi seperti mekanisasi, automasi, aplikasi teknologi kuantum dan pembangunan pusat data berasaskan teknologi sawit.
- Gabungan kepakaran UKM dan MPOB memperkukuh ekosistem penyelidikan, inovasi serta peluang pengkomersialan hasil penyelidikan.
- Penubuhan Pusat Kecemerlangan Sawit melalui Kursi Endowmen MPOB-UKM memperkuat pembangunan modal insan dan pemindahan teknologi.
- Kerjasama rentas disiplin dijangka meningkatkan produktiviti, kecekapan operasi dan kelestarian industri sawit melalui penyelidikan strategik.
Cadangan pembangunan itu berpotensi menjadikan Palm Science Park sebagai hab penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang memberi tumpuan kepada teknologi berimpak tinggi, khususnya mekanisasi dan automasi industri sawit, aplikasi teknologi kuantum serta pembangunan pusat data yang mengaplikasikan teknologi berasaskan sawit.
Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh berkata, gabungan kepakaran akademik UKM dan pengalaman penyelidikan MPOB mampu memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi, selain meneroka teknologi baharu untuk dimanfaatkan industri sawit negara.
Menurutnya, kerjasama itu bukan sahaja membuka peluang kepada pembangunan teknologi baharu dan pengkomersialan hasil penyelidikan, malah memperkukuh kerjasama rentas disiplin dalam menghasilkan penyelesaian inovatif.
“Melalui gabungan kepakaran UKM dan MPOB, inisiatif ini bukan sahaja dapat membuka peluang kepada pembangunan teknologi baharu dan pengkomersialan hasil penyelidikan, malah memperkukuh kerjasama rentas disiplin dalam menghasilkan penyelesaian inovatif yang mampu meningkatkan produktiviti, kecekapan operasi dan kelestarian industri sawit negara,” katanya dalam satu kenyataan media.
Dalam pada itu, cadangan penubuhan Pusat Kecemerlangan Sawit menerusi Kursi Endowmen MPOB-UKM turut dilihat berpotensi memperkukuh penyelidikan dan pembangunan kepakaran dalam sektor berkenaan.
Prof. Datuk Dr. Sufian berkata, pusat itu dicadangkan sebagai platform yang menghimpunkan kepakaran penyelidik kedua-dua institusi bagi melaksanakan penyelidikan strategik, pembangunan modal insan, perkongsian pengetahuan serta pemindahan teknologi.
Usaha itu penting bagi memastikan industri sawit negara terus berupaya menangani cabaran semasa dan masa hadapan, termasuk keperluan meningkatkan produktiviti serta daya saing melalui penggunaan teknologi baharu.
Sementara itu, Ketua Pengarah MPOB, Datuk Badrul Hisham Mohd menyambut baik usaha memperluas kerjasama strategik bersama UKM, khususnya dalam memanfaatkan kepakaran akademik dan penyelidikan universiti bagi menangani cabaran serta memenuhi keperluan industri sawit.
Kerjasama itu dijangka membuka lebih banyak ruang kepada penyelidikan berimpak tinggi dan pemindahan teknologi daripada institusi akademik kepada industri, sekali gus menyokong pembangunan serta kelestarian sektor sawit negara.