
KUALA LUMPUR, 4 November – Budaya membaca perlu dijadikan sebahagian daripada gaya hidup harian dan bukan sekadar hobi bagi membentuk jati diri serta memupuk budaya ilmu dalam kalangan generasi muda.
- Tangani generasi 'scrolling' yang fokus kandungan digital untuk elak budaya membaca terhakis.
- Kukuhkan budaya membaca melalui bahan yang mengangkat khazanah warisan tempatan bagi pembentukan jati diri generasi muda.
- Tangani cabaran kemerosotan sokongan ibu bapa terhadap persekolahan dan peningkatan ancaman buli siber.
- Galakkan ibu bapa membacakan buku sebelum tidur, sediakan bahan bacaan berkala dan luangkan masa memahami emosi anak.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, kecenderungan generasi masa kini yang tertumpu kepada kandungan digital atau scrolling generation perlu ditangani bagi mengelakkan budaya membaca terhakis.
Menurutnya, pengukuhan budaya membaca boleh dimulakan dengan bahan bacaan yang mengangkat khazanah warisan tempatan dalam usaha pembentukan jati diri generasi muda.
“Kita berada di sini bukan sekadar untuk berkongsi pentas, tetapi kembali kepada perkara yang paling asas iaitu jati diri, sejarah dan apa yang diwariskan kepada kita.
“Sebab itu apabila kita lihat program seperti ini, ia perlu bermula dengan kekuatan membaca bahan yang sedia ada dalam khazanah kita,” katanya.
Beliau berucap demikian pada majlis penutup HIPMaX Malaysian Folklore Storyfest: Folktales Reimagined Grand Finale Showcase 2026 di Perpustakaan Negara Malaysia, hari ini.
Program anjuran agensi di bawah Kementerian Pendidikan, Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC) tersebut menghimpunkan murid sekolah rendah dan menengah dari seluruh negara menerusi pertandingan kreatif berasaskan cerita rakyat, termasuk teater pendek, animasi video dan komik digital.
Dalam pada itu, Datuk Seri Fadhlina turut membangkitkan dua cabaran pendidikan yang memerlukan perhatian serius iaitu kemerosotan sokongan ibu bapa terhadap persekolahan anak-anak dan peningkatan ancaman buli siber.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan ibu bapa menyemai budaya membaca di rumah menerusi amalan membacakan buku kepada anak-anak sebelum tidur, serta penyediaan bahan bacaan secara berkala.
Beliau turut menegaskan sokongan ibu bapa tidak semestinya memerlukan penguasaan kurikulum kebangsaan, sebaliknya boleh dimulakan dari rumah dengan meluangkan masa bertanya khabar dan memahami keadaan emosi anak-anak setiap hari.
“Langkah itu penting bagi membolehkan ibu bapa mengesan sebarang perubahan tingkah laku anak-anak, khususnya yang mungkin berpunca daripada ancaman buli siber yang boleh menjejaskan kesejahteraan mereka,” jelasnya lagi.