
KUALA LUMPUR, 4 November – Harga runcit RON97 turun 20 sen kepada RM4.70 seliter, manakala RON95 dan diesel tanpa subsidi masing-masing turun 15 sen kepada RM4.27 dan RM5.12 seliter bagi tempoh 5 hingga 11 Nov ini.
- MOF memaklumkan penetapan harga dibuat berdasarkan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).
- Pasaran petroleum serantau menunjukkan penyederhanaan berikutan peningkatan bekalan bahan api bertapis dan stok rujukan di Singapura.
- Harga bersubsidi kekal; BUDI95 RM1.99, BUDI Diesel RM2.10, pembelian menggunakan MyKad tertakluk had bulanan.
Kementerian Kewangan (MOF) hari ini memaklumkan penetapan harga itu berdasarkan formula Mekanisme Harga Automatik (APM), berbanding harga semasa RM4.90 bagi RON97, RM4.42 bagi RON95 tanpa subsidi dan RM5.27 bagi diesel tanpa subsidi.
“Pasaran petroleum serantau menunjukkan tanda penyederhanaan berikutan peningkatan bekalan bahan api bertapis, termasuk stok petrol dan diesel di Singapura yang menjadi antara rujukan pasaran bagi penetapan harga petroleum di Malaysia.
“Perkembangan ini, bersama penurunan harga minyak mentah Brent pada penghujung tempoh pengiraan Mekanisme Harga Automatik (APM), memberi petunjuk kepada kemungkinan tekanan harga yang lebih rendah,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, MOF memaklumkan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat terus menimbulkan risiko kepada kestabilan harga petroleum dunia.
Sementara itu, harga RON95 bersubsidi melalui BUDI95 kekal RM1.99 seliter, dengan kerajaan menanggung subsidi RM2.28 seliter atau 53 peratus daripada harga tanpa subsidi bagi tempoh berkenaan.
Bagi BUDI Diesel, harga kepada penerima yang layak kekal RM2.10 seliter melibatkan subsidi kerajaan sebanyak RM3.02 seliter atau 59 peratus daripada harga tanpa subsidi.
Dalam pada itu, harga petrol di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) kekal pada paras RM2.05 seliter manakala diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kekal RM2.15 seliter.
Menurut MOF, rakyat Malaysia yang layak boleh terus membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada had kelayakan bulanan.
MOF turut memaklumkan Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemat bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.- BERNAMA