
BUKIT MERTAJAM, 4 November – Polis menahan tujuh warga asing, termasuk seorang wanita, dalam serbuan di dua premis di Bukit Tengah pada 1 November lalu, yang turut membawa kepada rampasan dadah disyaki MDMA dan ketamin bernilai RM1.08 juta.
- Serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD pada pukul 12.50 tengah malam hasil maklumat dan risikan.
- Ujian saringan air kencing mendapati dua suspek positif methamphetamine manakala lima lagi negatif.
- Kesemua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, 12(3) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952; polis siasat sindiket.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkenaan pada pukul 12.50 tengah malam hasil maklumat dan risikan.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita berusia antara 25 hingga 38 tahun.
“Hasil pemeriksaan di kedua-dua premis menemukan dadah jenis serbuk disyaki MDMA dan ketamin yang dianggarkan bernilai RM1.08 juta.
“Ujian saringan air kencing mendapati dua suspek positif dadah jenis methamphetamine, manakala lima lagi negatif,” menurut kenyataan.
Semakan polis turut mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau atau kesalahan berkaitan dadah.
Kesemua mereka direman selama tujuh hari sehingga 7 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut, termasuk mengesan rangkaian sindiket pengedaran dadah berkenaan.