Jambatan Bailey di Kubu Gajah siap dalam tiga minggu – MB Selangor

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari meninjau keadaan jambatan Jalan Kubu Gajah yang runtuh akibat hakisan susulan hujan lebat sehingga menyebabkan arus Sungai Subang menjadi deras di Paya Jaras / Foto BERNAMA

SUNGAI BULOH, 4 November – Kerajaan Selangor akan membina jambatan sementara jenis Bailey sepanjang 35 meter di Jalan Kubu Gajah, Merbau Sempak, di sini bagi memulihkan laluan yang terputus susulan kejadian jambatan runtuh awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerja pembinaan jambatan sementara dijangka siap dalam dua hingga tiga minggu, memulihkan akses penduduk ke laluan terputus.
  • Pemasangan hanya boleh bermula selepas pemindahan tiang elektrik, JKR mencadangkan laluan alternatif dan memaklumkannya menerusi media sosial.
  • Kerajaan merancang jambatan kekal bermula awal tahun depan, mengambil masa maksimum dua tahun dan mengambil kira pemindahan utiliti.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembinaan jambatan sementara itu dijangka mengambil masa dua hingga tiga minggu dan membolehkan penduduk kembali menggunakan laluan yang menghubungkan Kampung Kubu Gajah ke Paya Jaras Hilir.

Bagaimanapun, katanya, kerja pemasangan hanya dapat dimulakan selepas tiang elektrik di kawasan berkenaan dialihkan.

“Untuk akses sementara, kita akan bina jambatan Bailey yang memang ada dalam stok kita di sini. Kerja pembinaannya mengambil masa antara dua hingga tiga minggu, maksimum tiga minggu.

“Sementara itu, beberapa laluan alternatif telah dicadangkan dan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah memaklumkannya menerusi media sosial,” katanya ketika meninjau lokasi kejadian.

Menurut Datuk Seri Amirudin, kerajaan negeri turut merancang membina jambatan kekal di kawasan itu yang dijangka bermula awal tahun depan dan mengambil masa maksimum dua tahun untuk disiapkan.

Katanya, kerja pembinaan jambatan kekal itu turut mengambil kira keperluan mengalihkan utiliti serta keadaan jajaran Sungai Subang yang telah dinaik taraf menerusi projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB).

Beliau berkata, saiz jambatan lama yang masih belum dinaik taraf menyebabkan aliran air tersekat dan melimpah, sekali gus menyumbang kepada kejadian runtuhan.

Jambatan sedia ada sepanjang kira-kira 20 meter itu runtuh susulan aliran deras Sungai Subang selepas hujan lebat dengan catatan 48 milimeter di Stesen Paya Jaras Hilir.

Kejadian itu menjejaskan kira-kira 50 keluarga, manakala laluan berkenaan ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan atas faktor keselamatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.