
KANGAR, 4 November – Seramai 38 pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis digerakkan bagi memastikan peniaga mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali yang berkuat kuasa mulai hari ini hingga 10 November.
- Pemantauan dan pemeriksaan dilaksanakan secara berterusan merangkumi peringkat pengeluaran, pemborongan dan peruncitan.
- Sebanyak 11 jenis barangan dikawal, termasuk daging kambing, tomato, cili, kelapa, bawang, ubi kentang, santan dan kacang dal.
- Penguat kuasa ditempatkan di pasar awam, pasar basah, pasar tani dan pusat beli belah; aduan boleh dibuat melalui tujuh saluran; tertakluk Akta Kawalan Harga.
Pengarah KPDN Perlis, Rohaida Hassan berkata, pemantauan dan pemeriksaan akan dilaksanakan secara berterusan sepanjang tempoh skim itu meliputi peringkat pengeluaran, pemborongan dan peruncitan.
Sebanyak 11 jenis barangan dikawal di bawah skim berkenaan, termasuk daging kambing biri-biri import bertulang, tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil India, bawang merah besar, ubi kentang, santan dan kacang dal Australia.
“Untuk semua pengguna di luar sana, kalau ada apa-apa maklumat terhadap barangan yang disenaraikan dan harga yang kita tetapkan, sama ada peniaga tidak mematuhi harga tersebut atau tidak meletakkan tanda harga, bolehlah membuat aduan kepada KPDN Perlis melalui tujuh saluran aduan awam yang telah kita tetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika melakukan pemeriksaan dan pemantauan sempena pelaksanaan SHMMP Deepavali di sebuah pasar raya di sini, hari ini.
Pelaksanaan skim itu adalah tertakluk kepada Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Sepanjang tempoh berkenaan, pegawai penguat kuasa akan ditempatkan di lokasi strategik termasuk pasar awam, pasar basah, pasar tani dan pusat beli-belah bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan.