Super El Nino: KPKM sedia laksana pembenihan awan di Kedah jika perlu

Datuk Seri Mohamad Sabu/ RTM

PASIR MAS, 4 November- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersedia melaksanakan operasi pembenihan awan (OPA) sekiranya paras air empangan utama di Kedah mencapai tahap kritikal susulan kemungkinan cuaca kering berpanjangan akibat fenomena Super El Nino.

RINGKASAN BERITA AI
  • Paras air Empangan Pedu masih pada tahap baik, tetapi pemantauan berterusan bagi memastikan bekalan air pertanian mencukupi.
  • Operasi pembenihan awan boleh dilaksanakan jika awan sesuai; KPKM dan KKDW akan meneliti keperluan operasi.
  • Jika keadaan kecemasan, bekalan air akan diutamakan untuk kegunaan domestik; pengairan sawah mungkin ditangguhkan sementara.
  • LKIM diarahkan meningkatkan stok ikan kerana suhu tinggi boleh menyebabkan ikan bergerak lebih jauh dari pantai, menjejaskan nelayan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata paras air di Empangan Pedu, Kuala Nerang antara tiga empangan utama di Kedah, ketika ini masih berada pada tahap baik, namun pemantauan berterusan perlu dilakukan bagi memastikan bekalan air untuk sektor pertanian mencukupi.

Beliau berkata, OPA boleh dilaksanakan sekiranya terdapat pembentukan awan yang sesuai terutama jika keadaan cuaca kering berlarutan.

“Kalau hujan tidak turun dalam tempoh yang lama, kita akan cuba melaksanakan OPA. Operasi ini memerlukan sedikit pembentukan awan sebelum boleh dilakukan. Bagaimanapun, KPKM bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan bergabung tenaga untuk meneliti keperluan operasi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Bantuan Skim Takaful Tanaman Padi di Bendang Belukar, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Mohamad berkata sekiranya keadaan mencapai tahap kecemasan, bekalan air mungkin perlu diutamakan untuk kegunaan domestik, manakala aktiviti pengairan sawah berkemungkinan ditangguhkan sementara.

Sehubungan itu, pesawah dan penanam sayur turut diberikan taklimat awal supaya mengambil langkah persediaan menghadapi kemungkinan cuaca kering yang boleh menjejaskan aktiviti pertanian.

Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Mohamad berkata Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) turut diarahkan meningkatkan stok ikan bagi memastikan bekalan makanan itu mencukupi sekiranya fenomena Super El Nino menjejaskan aktiviti perikanan negara.

Beliau berkata, peningkatan suhu sehingga 40 darjah Celsius berpotensi menjejaskan aktiviti penangkapan ikan, khususnya dalam kalangan nelayan pantai yang beroperasi dalam lingkungan lima kilometer dari daratan.

Katanya, cuaca panas boleh menyebabkan ikan bergerak lebih jauh ke tengah laut, sekali gus menyukarkan operasi penangkapan ikan oleh nelayan di kawasan berhampiran pantai.

Sebelum ini, Pengarah Kanan Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Makrun Fadzli Mohd Fahmi memaklumkan Malaysia berpotensi
mengalami cuaca lebih panas dan kering pada penghujung Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 khususnya antara penghujung Januari hingga Mac tahun depan susulan jangkaan fenomena Super El Nino.

Jelas beliau, keadaan itu berpotensi meningkatkan risiko gelombang haba dan kemarau terutama apabila taburan hujan berkurangan dalam tempoh berkenaan.

Beliau berkata fenomena El Nino ketika ini berada pada fasa kuat dan dijangka mencapai tahap sangat kuat atau Super El Nino pada penghujung tahun ini hingga tahun depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.