Ilmu perlu dimanfaatkan dengan amanah, integriti – Sultan Nazrin

Foto RTM

GOMBAK, 28 November – Ilmu pengetahuan yang diperoleh perlu dimanfaatkan dengan penuh kebijaksanaan, integriti dan kerendahan hati, selain menjadi landasan untuk seseorang berbakti kepada masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ilmu ialah amanah yang mesti digunakan dengan bijaksana, berintegriti dan rendah hati demi manfaat masyarakat.
  • Pendidikan bukan sekadar menambah pengetahuan, tetapi membentuk tingkah laku bertanggungjawab dan komitmen untuk berkhidmat kepada orang lain.
  • Semakin tinggi ilmu, semakin besar tanggungjawab untuk berbakti; ilmu tidak seharusnya menjadikan seseorang angkuh atau sombong.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, ilmu bukan sekadar sesuatu yang dimiliki, sebaliknya merupakan amanah yang perlu dipikul setiap individu, khususnya dalam memastikan pengetahuan yang diperoleh memberi manfaat kepada orang lain.

“Dalam Islam, ilmu bukan sekadar sesuatu yang dimiliki. Ilmu merupakan amanah untuk manusia. Mereka yang memperoleh ilmu bertanggungjawab menggunakannya dengan kebijaksanaan, kerendahan hati dan integriti,” titah baginda.

Tambah baginda, tujuan pendidikan bukan hanya untuk memperluas pengetahuan, tetapi turut membentuk tingkah laku yang bertanggungjawab serta memupuk komitmen untuk berkhidmat kepada orang lain.

“Sebagai graduan, anda memikul tanggungjawab untuk menggunakan ilmu dengan bijaksana, melaksanakan amanah dengan integriti dan berkhidmat dengan penuh rendah hati.” titah beliau.

Sultan Nazrin turut mengingatkan bahawa peningkatan ilmu tidak seharusnya menjadikan seseorang angkuh atau sombong, sebaliknya semakin tinggi ilmu yang dimiliki, semakin besar tanggungjawab untuk berbakti kepada masyarakat.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kali Ke-42, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Sultan Nazrin buat julung kali diberi penghormatan menyampaikan ijazah kepada graduan Doktor Falsafah dan Sarjana, yang lazimnya disempurnakan oleh Ketua Perlembagaan UIAM.

Istiadat kali ini turut menyaksikan Ketua Perlembagaan UIAM, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menerima Ijazah Sarjana Sastera dalam bidang Pemikiran dan Tamadun Islam menerusi penyelidikan bertajuk Hukum Kanun Pahang: Satu Kajian tentang Perlembagaan Melayu-Islam yang Berdaulat.

Sultan Nazrin turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Tunku Azizah atas kejayaan itu dan menyifatkan kesungguhan baginda mengikuti pengajian sebagai mahasiswa sebagai teladan terpuji.

Istiadat Konvokesyen UIAM Kali Ke-42 berlangsung dari 28 November hingga 2 Disember ini, membabitkan 5,489 graduan, terdiri daripada 920 graduan pascasiswazah dan 4,569 graduan ijazah sarjana muda.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.