38 projek JKR diseluruh negara dikategori projek sakit

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 3 November – Sebanyak 38 projek pembangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) di seluruh negara dikategorikan sebagai projek sakit setakat 31 Oktober lalu, membabitkan kos projek semasa berjumlah RM2.08 bilion.

RINGKASAN BERITA AI
  • Enam projek dirujuk ke Jawatankuasa Panel Penyelarasan Kontrak untuk tindakan penamatan kontrak akibat kegagalan kontraktor.
  • Daripada 880 projek dalam pembinaan, 4.32 peratus dikategorikan sebagai projek sakit.
  • Trend menunjukkan penurunan dari kadar tertinggi 6.51 peratus kepada 3.77 peratus sebelum naik sedikit.
  • 77 peratus kelewatan berpunca daripada kelemahan pengurusan kontraktor seperti perancangan, tenaga kerja, jentera dan bekalan bahan.

Daripada jumlah itu, enam projek telah dirujuk kepada Jawatankuasa Panel Penyelarasan Kontrak (Contract Coordination Panel-CCP) dan kini dalam tindakan penamatan kontrak susulan kegagalan kontraktor memulihkan prestasi pelaksanaan projek.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, daripada 880 projek yang sedang dalam peringkat pembinaan, sebanyak 4.32 peratus dikategorikan sebagai projek sakit.

“Trend projek sakit pada 2026 menunjukkan penurunan berbanding kadar tertinggi sebanyak 6.51 peratus atau 55 projek yang direkodkan pada Julai lalu.

“Kadar tersebut berjaya dikurangkan kepada 3.77 peratus atau 33 projek pada September 2026, sebelum meningkat sedikit kepada 4.32 peratus atau 38 projek pada Oktober 2026,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Mohmed Puzi Sh Ali di Dewan Rakyat.

Jelasnya, sebanyak 77 peratus punca kelewatan projek berpunca daripada kelemahan pengurusan kontraktor, khususnya dalam aspek perancangan dan penyelarasan kerja, pengurusan tenaga kerja serta jentera dan bekalan bahan binaan.

Baki 23 peratus pula melibatkan faktor lain, termasuk kelewatan pengalihan utiliti, isu pengambilan balik tanah, akses tapak bina yang terhad serta kekangan bekalan bahan binaan.

Bagi menangani isu itu, pemantauan dan pelaksanaan langkah intervensi akan dipergiatkan, termasuk penyediaan pelan pemulihan serta pemantauan kemajuan fizikal projek secara berkala.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.