
KUALA LUMPUR, 1 November – Kerinduan peminat tempatan terhadap penyanyi dan komposer antarabangsa, Jason Mraz, terubat apabila kira-kira 8,000 peminat membanjiri Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, bagi menyaksikan persembahannya selepas tujuh tahun.
- Persembahan menyajikan nostalgia dan mesej cinta, persahabatan serta sikap positif menerusi lagu-lagu popular Jason Mraz.
- Vokal bersahaja, kemahiran gitar dan interaksi mesra bersama penonton menyerlahkan bakat Jason sebagai penghibur.
- Detik mengharukan ketika I Won't Give Up menyaksikan ribuan penonton menyanyi bersama, menghayati mesej ketabahan dan kesetiaan.
- Penganjur dan penaja menghargai sambutan serta berazam membawa lebih banyak persembahan menarik kepada peminat tempatan.
Konsert menerusi Jason Mraz Asia Tour 2026 Live in Kuala Lumpur itu menyajikan pengalaman muzik yang mengimbau nostalgia, selain membawa mesej tentang percintaan, persahabatan dan sisi positif kehidupan menerusi karya-karya popularnya.
Dipersembahkan oleh Prudential Malaysia dan dianjurkan Zues Event, persembahan berkenaan menyerlahkan keistimewaan Jason sebagai penghibur menerusi vokal bersahaja, kemahiran bermain gitar serta interaksi mesra bersama penonton.
Membuka tirai persembahan dengan lagu You and I Both, Jason menyapa penonton dengan ucapan, “Apa khabar, Malaysia? It’s really good to be back,” sekali gus mencetuskan sorakan peminat.
Beliau turut mencuri perhatian apabila beberapa kali mengucapkan “terima kasih” dalam bahasa Melayu sebagai tanda penghargaan terhadap sambutan hangat peminat tempatan.
Sepanjang persembahan, Jason turut berkongsi bahawa kebanyakan karya yang dihasilkannya berkisar tentang cinta, perkara yang dekat dengan kehidupannya serta mesej positif, dengan setiap lagu mempunyai identiti tersendiri menerusi melodi dan penceritaan.
Antara detik paling menyentuh emosi ialah ketika lagu I Won’t Give Up dipersembahkan apabila ribuan penonton turut menyanyi bersama, menghayati mesej ketabahan dan kesetiaan yang dibawakan menerusi karya berkenaan.
Dari aspek teknikal, sistem audio yang seimbang memastikan kejelasan vokal, petikan gitar serta iringan muzik dapat dinikmati sepanjang persembahan.
Secara keseluruhan, konsert berkenaan bukan sahaja mengubat kerinduan peminat selepas tujuh tahun, malah membuktikan keupayaan muzik Jason Mraz terus dekat dengan jiwa pendengar merentasi generasi.
Pengarah Zues Event, Jeffery Chin berkata, pihaknya berbesar hati dengan sambutan serta sokongan luar biasa yang diterima, selain menghargai kerjasama penaja, rakan strategik, artis, kru dan seluruh pasukan produksi.
Menurutnya, kejayaan penganjuran konsert itu menjadi pemangkin kepada usaha membawa lebih banyak persembahan menarik kepada peminat tempatan pada masa akan datang.