Nikah di luar negara, pastikan kadi bertauliah

Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 1 November – Pasangan yang berhasrat melangsungkan perkahwinan di luar negara diingatkan supaya memastikan kadi yang mengendalikan pernikahan mereka mempunyai
tauliah yang diiktiraf.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mahkamah akan meneliti status kadi semasa proses pengesahan dan pendaftaran perkahwinan.
  • Pastikan perkahwinan dilaksanakan mengikut undang-undang dan hukum syarak serta pertimbangkan kesan nasab anak.
  • Kegagalan mematuhi prosedur boleh membawa implikasi perundangan; majlis agama Selatan Thai tidak akan nikahkan warga Malaysia masuk secara haram.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, langkah itu penting bagi mengelak masalah pendaftaran
perkahwinan di Malaysia, selain memastikan pematuhan undang-undang dan hukum syarak.

Menurut beliau, mahkamah akan meneliti status kadi yang mengendalikan pernikahan di luar negara ketika proses pengesahan dan pendaftaran perkahwinan.

“Pesanan saya kepada mereka yang ingin berkahwin, pastikan perkahwinan dilaksanakan secara jujur dan mengikut lunas undang-undang.

“Jangan hanya memikirkan soal perkahwinan, tetapi turut pertimbangkan nasab anak yang bakal dilahirkan kerana kesannya sangat besar,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Kegagalan mematuhi prosedur ditetapkan boleh mengundang implikasi perundangan, termasuk isu berkaitan nasab anak yang dilahirkan hasil perkahwinan tersebut.

Media sebelum ini melaporkan semua lima majlis agama Islam di wilayah Selatan Thai sepakat tidak lagi menikahkan pasangan warga Malaysia yang
memasuki Thailand secara haram.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, ketetapan itu dipersetujui dalam mesyuarat bersama wakil Majlis Agama Islam
Wilayah Narathiwat, Songkhla, Satun, Yala dan Pattani, pada Sabtu bagi memperketat prosedur perkahwinan membabitkan warga Malaysia.

Mesyuarat itu turut memutuskan supaya surat pengesahan sijil nikah tidak lagi dikeluarkan kepada pasangan yang memasuki Thailand tanpa mematuhi prosedur imigresen yang sah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.