
SANAA, 2 November – Kumpulan Houthi di Yaman mengulangi ancaman terhadap kemudahan minyak syarikat gergasi Arab Saudi, Aramco serta sektor penerbangan negara itu susulan konflik yang kembali memuncak sejak Julai lalu.
- Houthi menasihati syarikat penerbangan antarabangsa elak ruang udara Arab Saudi kecuali Makkah dan Madinah.
- Gencatan senjata runtuh selepas Houthi membenarkan pesawat Iran mendarat tanpa kebenaran Arab Saudi yang mengawal ruang udara Yemen.
- Lebih 1,600 orang terbunuh dan lebih 300,000 kehilangan tempat tinggal dalam dua bulan, menurut PBB dan IOM.
- Gabungan diketuai Arab Saudi memintas peluru berpandu dan dron serta melancarkan serangan untuk memusnahkan sumber penting Houthi.
Agensi berita Saba milik Houthi memetik seorang pegawai tentera yang tidak dinamakan sebagai berkata, kemudahan Aramco berada dalam jangkauan serangan angkatan tentera Yaman, sekali gus memberi amaran bahawa pelaburan dalam sektor berkenaan berisiko mengalami kerugian.
Pegawai itu turut memberi amaran kepada syarikat penerbangan antarabangsa supaya tidak menggunakan ruang udara Arab Saudi, kecuali kawasan udara Makkah dan Madinah.
Konflik Yaman kembali memuncak pada Julai lalu selepas gencatan senjata rapuh yang berkuat kuasa sejak 2022 runtuh susulan tindakan Houthi membenarkan sebuah pesawat Iran mendarat di ibu negara Sanaa tanpa kebenaran Arab Saudi yang mengawal ruang udara negara itu.
Sejak itu, Houthi melancarkan serangan terhadap kemudahan minyak dan lapangan terbang di Arab Saudi yang mengorbankan 24 orang bulan lalu.
Antara serangan paling buruk berlaku pada 10 Oktober lalu apabila serangan terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa Riyadh mengorbankan sekurang-kurangnya 13 orang.
Pada Ahad, gabungan tentera diketuai Arab Saudi memaklumkan pihaknya memintas sebuah peluru berpandu dan dron yang dilancarkan Houthi ke arah wilayah selatan negara itu.
Dalam perkembangan berkaitan, gabungan tentera itu berkata pihaknya melancarkan operasi tepat bagi memusnahkan sumber penting yang digunakan Houthi, selain menyiarkan rakaman video yang didakwa menunjukkan serangan di wilayah Hodeidah dan Dhamar.
Bagaimanapun, agensi berita Saba mendakwa Arab Saudi melancarkan dua serangan udara ke atas Fakulti Perubatan Universiti Hodeidah.
Dua penduduk Hodeidah yang ditemu bual AFP berkata mereka terdengar letupan di kawasan berkenaan.
Sementara itu, pertempuran di Yaman menyebabkan lebih 300,000 penduduk kehilangan tempat tinggal di bahagian barat negara itu, dalam tempoh dua bulan lalu.
Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) berkata golongan berkenaan amat memerlukan bantuan segera termasuk tempat perlindungan, makanan, air bersih dan rawatan kesihatan.
Menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), lebih 1,600 orang terbunuh sejak pertempuran di Yemen kembali memuncak.
Houthi yang merupakan sekutu Iran berperang menentang gabungan diketuai Arab Saudi bagi menyokong kerajaan Yemen yang diiktiraf antarabangsa.
Dalam perkembangan berasingan, Iran pada Ahad memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) dan Israel supaya tidak melancarkan semula serangan terhadap negara itu selepas kedua-duanya mengancam untuk kembali berperang. – AFP