Pertempuran Yaman: Lebih 300,000 penduduk terpaksa tinggalkan kediaman

Foto / REUTERS

GENEVA, 2 November – Lebih 300,000 penduduk di barat Yaman terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing, susulan pertempuran yang semakin memuncak antara kumpulan Houthi dengan pasukan kerajaan yang disokong Arab Saudi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penduduk memerlukan bantuan segera termasuk tempat perlindungan, makanan, air bersih dan rawatan kesihatan.
  • IOM menyediakan bantuan perubatan di lima lokasi namun kekurangan dana boleh menyebabkan ribuan keluarga tidak mendapat bantuan.
  • IOM memerlukan AS$45 juta untuk enam bulan dan menggesa semua pihak melindungi orang awam serta memastikan akses bantuan di Ta'iz.

Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan, hampir semua penduduk berkenaan kehilangan tempat tinggal dalam tempoh dua bulan lalu dan kini memerlukan bantuan segera termasuk tempat perlindungan, makanan, air bersih serta rawatan kesihatan.

Konflik di Yaman kembali tercetus pada Julai lalu selepas empat tahun susulan perkembangan konflik yang meluas di Asia Barat.

Pertempuran semakin meningkat pada September apabila Houthi melancarkan serangan di bahagian barat negara itu.

Arab Saudi kemudian melancarkan serangan udara terhadap kedudukan Houthi, manakala kumpulan yang disokong Iran itu meningkatkan serangan ke dalam wilayah Arab Saudi.

IOM berkata pihaknya sedang menyediakan bantuan perubatan kepada orang awam di lima lokasi, namun kekurangan dana boleh menyebabkan ribuan keluarga tidak mendapat bantuan yang diperlukan.

Ketua Misi IOM di Yemen, Abdusattor Esoev berkata, peningkatan pertempuran turut menyebabkan harga barangan keperluan asas melonjak sehingga menyukarkan banyak keluarga mendapatkan bekalan makanan.

“Tanpa tambahan dana, ribuan keluarga berisiko tidak menerima bantuan yang amat diperlukan,” katanya dalam kenyataan berkenaan.

Sehubungan itu, IOM memerlukan dana AS$45 juta bagi tempoh enam bulan akan datang untuk meneruskan bantuan menyelamatkan nyawa.

Organisasi itu turut menggesa semua pihak yang terbabit dalam konflik supaya melindungi orang awam dan petugas kemanusiaan serta memastikan bantuan dapat disalurkan dengan selamat tanpa sebarang halangan, khususnya di kawasan yang sukar diakses di Ta’iz, sebuah bandar utama di barat Yaman.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.