Tujuh migran dipercayai maut dalam perjalanan ke Kepulauan Canary

Foto fail/ AFP

MADRID, 2 November –Tujuh migran dipercayai maut ketika dalam perjalanan menaiki bot getah menuju ke Kepulauan Canary, Sepanyol, menurut pihak penyelamat maritim negara itu pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua mayat ditemukan dalam bot, lima lagi dilaporkan meninggal dan mayat dicampakkan ke laut.
  • Bot yang membawa 132 individu dipintas sebuah kapal penyelamat dan dibawa ke pelabuhan Arrecife, Lanzarote.
  • Presiden wilayah Canary, Fernando Clavijo, menyuarakan kebimbangan dan menggesa kerajaan pusat tambah sumber.
  • Kedatangan migran memuncak 2024 lebih 46,000, kemudian menurun susulan rondaan lebih ketat dan kerjasama antarabangsa.

Dua mayat ditemukan di dalam bot berkenaan, manakala lima lagi migran dilaporkan meninggal dunia ketika pelayaran sebelum mayat mereka dicampakkan ke laut.

Perkhidmatan Penyelamat Maritim Sepanyol, Salvamento Marítimo memaklumkan, bot yang membawa 132 individu itu dipintas sebuah kapal penyelamat pada awal Isnin.

Bot berkenaan membawa 120 lelaki dan 12 wanita sebelum dibawa ke pelabuhan Arrecife, di pulau Lanzarote.

Presiden kerajaan wilayah Kepulauan Canary, Fernando Clavijo menerusi platform X menyuarakan kebimbangan terhadap tragedi berkenaan, sambil menggesa kerajaan pusat menambah sumber bagi menangani krisis kemanusiaan itu.

Dalam perkembangan berasingan, sebuah lagi bot yang membawa 59 individu diselamatkan pada awal Isnin, manakala 107 migran dari Afrika sub-Sahara, termasuk tiga kanak-kanak, dibawa dengan selamat ke pulau El Hierro pada malam Ahad.

Kepulauan Canary merupakan antara laluan utama migran memasuki Eropah bagi mereka yang melarikan diri daripada kemiskinan, konflik dan penganiayaan.

Perjalanan jauh dari Afrika Barat merentasi Lautan Atlantik amat berbahaya berikutan arus deras serta penggunaan bot yang uzur dan membawa penumpang melebihi kapasiti.

Ketibaan migran ke kepulauan itu mencatat kemuncak pada 2024 dengan lebih 46,000 orang, sebelum menurun susulan kawalan rondaan yang lebih ketat serta kerjasama dengan negara asal dan negara transit. – AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.