
KUALA LUMPUR, 1 November – Bursa Malaysia dijangka berada dalam fasa konsolidasi minggu depan dengan indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) diunjur diniagakan dalam jajaran 1,600 hingga 1,630 dengan kecenderungan positif secara sederhana.
- Prospek pasaran kekal optimis tetapi berhati-hati menurut penganalisis.
- Pembelian pada harga rendah terutama saham mewah berasas kukuh dijangka menyokong pasaran tempatan.
- Pelabur akan memantau keputusan dasar monetari BNM pada 5 November dan pengumuman keputusan kewangan korporat.
- Bacaan PMI pembuatan pada 2 November menjadi petunjuk penting; penurunan lanjut boleh menjejaskan daya tahan sektor.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, prospek pasaran kekal optimis namun berhati-hati.
Jelasnya, aktiviti pembelian saham pada harga rendah terutama saham-saham mewah yang mempunyai asas kukuh dijangka menyokong pasaran tempatan.
“FBM KLCI menunjukkan daya tahan pada paras sekitar 1,600 mata minggu ini walaupun pergerakan berterusan melepasi paras 1,620 mata dijangka sukar dicapai tanpa penglibatan belian yang lebih kukuh.
“Minggu hadapan, pelabur akan turut memantau keputusan dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) pada 5 November dan pengumuman keputusan kewangan korporat yang akan datang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi Negara IPPFA Mohd Sedek Jantan berkata Indeks Pengurus Pembelian (PMI) sektor pembuatan Malaysia yang dijadual diumumkan pada 2 November akan menjadi petunjuk penting bagi menilai momentum asas ekonomi negara.
Beliau berkata bacaan bulan sebelumnya menyusut di bawah paras 50 mata, menandakan aktiviti sektor pembuatan mengalami penyusutan.
“Penurunan selanjutnya boleh menimbulkan kebimbangan terhadap daya tahan sektor pembuatan terutama dalam keadaan kos tenaga yang lebih tinggi dan ketidaktentuan luaran.
“Sebaliknya, peningkatan bacaan PMI boleh mengukuhkan keyakinan terhadap asas ekonomi domestik dan memberikan sokongan kepada pasaran ekuiti tempatan,” kata Mohd Sedek.
Bagi tempoh Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 4.04 mata kepada 1,615.60 mata daripada 1,611.56 mata pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 15.53 bilion unit bernilai RM9.97 bilion daripada 14.21 bilion unit bernilai RM12.55 bilion pada minggu sebelumnya – BERNAMA