
KUALA LUMPUR, 1 November – CIMB Bank Berhad memperkukuh usaha membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengembangkan perniagaan menerusi penganjuran CIMB OCTOFest 2026.
- Inisiatif bertujuan tingkatkan jangkauan perniagaan, perluas rangkaian dan beri peluang pertumbuhan baharu kepada PMKS tempatan.
- Mempercepat penerimaan pembayaran digital dan memperkenalkan strategi pembayaran baru untuk melonjakkan pertumbuhan perniagaan PMKS.
- Kaedah penerimaan pembayaran kini lebih mudah termasuk kod QR dan pelbagai jenis kad bagi memperbaiki aliran tunai peniaga.
- Festival dan inisiatif menyaksikan 100,000 pengunjung, menyokong lebih 255 PMKS dan menjana jualan sekitar RM1.2 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Bank Berhad dan CIMB Malaysia, Gurdip Singh Sidhu berkata, inisiatif berkenaan bertujuan meningkatkan jangkauan perniagaan, memperluas rangkaian, dan memberi peluang pertumbuhan baharu kepada PMKS tempatan.
Pada masa sama berupaya mempercepatkan penerimaan pembayaran digital serta memperkenalkan strategi pembayaran baharu bagi melonjakkan pertumbuhan perniagaan golongan tersebut.
“Bagi perniagaan, urusan pembayaran kini lebih mudah kerana terdapat pelbagai kaedah penerimaan bayaran, bukan sahaja melalui kod QR, tetapi juga menggunakan pelbagai jenis kad.
“Ini penting kerana aliran tunai merupakan aspek paling utama bagi peniaga, khususnya perusahaan kecil yang perlu memastikan wang diterima dengan cekap bagi membolehkan mereka membeli stok barangan dan menggunakannya semula untuk meneruskan operasi perniagaan pada hari berikutnya,” katanya selepas majlis pelancaran CIMB OCTOFest 2026 di sini.
Acara tersebut dianjurkan sepanjang bulan Oktober di Pulau Pinang, Kuantan, Johor Bahru dan Kuala Lumpur.
Setakat ini, festival berkenaan telah berjaya menarik 100,000 pengunjung, di samping menyokong lebih 255 PMKS yang berjaya menjana jualan sebanyak RM1.2 juta.
Dalam pada itu, CIMB turut memperkenalkan OCTO Collect, platform kutipan pembayaran bersepadu yang membolehkan peniaga menerima pembayaran digital melalui pelbagai saluran termasuk kad, FPX dan e-dompet.
Kemudahan itu dijangka membantu PMKS mempercepat urusan kutipan pembayaran, meningkatkan kecekapan operasi serta memperkukuh pengurusan aliran tunai perniagaan.