Kenaikan OPR dijangka sokong pengukuhan nilai ringgit

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 1 November – Ringgit diramal diniagakan dalam julat kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan ketika pelabur menantikan pengumuman Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM), pada 5 November ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Potensi kenaikan OPR oleh BNM dijangka menyokong pengukuhan ringgit.
  • Ketegangan di Asia Barat dan lonjakan harga minyak boleh tingkatkan permintaan dolar, mengehadkan pengukuhan ringgit.
  • Ringgit mencatat penguatan minggu ke minggu berbanding dolar AS, mata wang utama dan mata wang ASEAN.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, sebarang potensi kenaikan OPR berupaya menyokong pengukuhan ringgit.

”Ini memandangkan BNM mungkin mempertimbangkan langkah penormalan OPR berikutan prestasi pertumbuhan ekonomi negara yang lebih kukuh daripada jangkaan.

“Justeru, ringgit dijangka diniagakan dalam julat RM4.05 hingga RM4.07 berbanding dolar AS pada minggu depan,” katanya.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd berkata, sekiranya ketegangan di Asia Barat semakin memuncak, harga minyak berpotensi melonjak dan pulangan bon Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), sekali gus meningkatkan semula permintaan terhadap dolar AS.

“Pelabur dijangka kekal berhati-hati ketika proses pilihan raya pertengahan penggal AS pada 3 November, sekali gus mengehadkan potensi pengukuhan ringgit.

“Oleh itu, ringgit dijangka diniagakan tidak menentu dalam julat RM4.04 hingga RM4.08 minggu depan, namun sasaran kami pada paras RM4.00 menjelang akhir tahun masih boleh dicapai,” jelas bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya.

Sementara itu, bagi perbandingan Jumaat ke Jumaat, ringgit mengukuh berbanding dolar AS kepada 4.0555/0600 daripada 4.0835/0875 pada minggu sebelumnya.

Mata wang tempatan itu turut mencatatkan pengukuhan berbanding sekumpulan mata wang utama lain sepanjang minggu berkenaan.

Ini termasuk meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5782/5812 daripada 2.6076/6103 pada Jumaat minggu lepas, naik berbanding pound Britain kepada 5.4461/4522 daripada 5.4633/4687 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.5413/5464 daripada 4.5735/5780 seminggu sebelumnya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang negara-negara ASEAN.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1753/1791 daripada 3.1952/1986 pada Jumaat minggu lepas dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 223.4/223.8 daripada 225.8/226.1.

Mata wang tempatan juga naik berbanding baht Thailand kepada 12.0373/0561 daripada 12.0985/1154 seminggu lepas dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.36/6.37 daripada 6.42/6.43 sebelum ini.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.