Skuad ekuestrian polo sasar tiga emas

Foto hiasan / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 November – Skuad ekuestrian polo negara menyasarkan tiga pingat emas pada temasya Sukan SEA 2027, berikutan kelebihan beraksi di laman sendiri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sasaran tiga emas meliputi kategori 4-6 gol, 0-2 gol dan Ladies Division.
  • Persiapan pasukan mencapai 80 peratus, dengan latihan bermula September lalu dan pemilihan akhir atlet pada Mac.
  • Thailand dijangka menjadi pencabar utama dalam kategori 4-6 gol, manakala saingan dua acara lain lebih terbuka.

Jurulatihnya, Shaik Reismann Mohamed Ismail berkata, persiapan pasukan ketika ini sudah mencapai tahap 80 peratus, manakala senarai muktamad atlet yang bakal menggalas cabaran negara akan dimuktamadkan pada Mac depan.

Menurut beliau, sasaran itu merangkumi kesemua tiga acara yang dipertandingkan iaitu kategori gol 4-6 gol, gol 0-2 serta Ladies Division (acara wanita).

“Cabaran utama saya sebagai jurulatih adalah untuk memastikan Malaysia meraih ketiga-tiga pingat emas. Saya sangat yakin kita mampu melakukannya kerana beraksi di laman sendiri memberi kelebihan besar, malah kuda-kuda kita juga tidak perlu melalui perjalanan jauh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) di Majlis Sukan Negara (MSN), di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai hasil mesyuarat tersebut, Shaik Reismann berkata, sesi latihan telah bermula sejak September lalu manakala kem latihan pusat dijadualkan berlangsung di Kelab Polo Diraja Pahang di Pekan.

“Kita juga bercadang untuk menghantar beberapa atlet berlatih di luar negara bagi meningkatkan lagi tahap kemahiran mereka sebelum pemilihan akhir dibuat pada Mac,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjangkakan Thailand kekal menjadi pencabar terdekat skuad negara terutamanya dalam acara empat hingga enam gol memandangkan kedua-dua pasukan mempunyai sejarah pertemuan yang sengit di pentas akhir.

“Bagi kategori gol 4-6, ancaman utama memang datang daripada Thailand dan mereka pastinya mahu menafikan penguasaan kita. Namun, saingan bagi dua lagi acara dilihat lebih terbuka.

“Sebelum ini ketika di Filipina dan Thailand, kita sekadar meraih pingat gangsa dalam acara tersebut, tetapi kali ini kita tekad untuk menghadiahkan pingat emas buat negara,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.