
JOHOR BAHRU, 1 November – Seorang lelaki tempatan dan dua wanita warga Indonesia ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan judi dalam talian menerusi serbuan di sebuah premis di Kulai.
- Suspek berperanan sebagai penjaga kaunter dan mengurus urusan tambah nilai bagi kegiatan judi dalam talian.
- Polis merampas telefon bimbit mengandungi aplikasi BUKUPLUS.COM serta wang tunai RM400 dipercayai hasil pertaruhan.
- Seorang suspek dibebaskan dengan jaminan polis, dua wanita warga Indonesia direman 14 hari, disiasat di bawah akta judi dan imigresen.
Ketiga-tiga suspek berusia antara 26 hingga 29 tahun itu dipercayai bertindak sebagai penjaga kaunter serta menguruskan urusan tambah nilai bagi kegiatan berkenaan.
Mereka ditahan pada Jumaat lalu menerusi Op Dadu yang dijalankan polis.
Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Kulai, ACP Tan Seng Lee, polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang mengandungi aplikasi permainan judi dalam talian menerusi laman sesawang BUKUPLUS.COM.
“Wang tunai RM400 yang dipercayai hasil wang pertaruhan juga dirampas.
Suspek lelaki dibebaskan dengan jaminan polis, manakala dua wanita warga Indonesia yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri direman selama 14 hari,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.