
LIMA, 28 November – Pihak berkuasa Peru memusnahkan lebih 10 tan dadah menerusi proses pembakaran di sini, dalam operasi yang diketuai Menteri Dalam Negeri, Cesar Astudillo Salcedo.
- Organisasi jenayah pengedaran dadah turut terlibat dalam perlombongan haram dan pemerdagangan manusia.
- Peru ialah pengeluar daun koka dan kokain hidroklorida kedua terbesar di dunia.
- Dadah yang dimusnahkan kebanyakannya ganja, kokain dan ketamin, dirampas di beberapa wilayah.
Salcedo berkata, organisasi jenayah yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah turut menjalankan pelbagai aktiviti haram lain, termasuk perlombongan haram dan pemerdagangan manusia.
Secara keseluruhan, sebanyak 10,749 kilogram dadah dimusnahkan di bawah pengawasan Menteri Dalam Negeri itu.
“Kita bukan sekadar melaksanakan proses pemusnahan dadah. Kita sedang melaporkan hasil konkrit daripada usaha berterusan negara dalam memerangi pengedaran dadah dan organisasi jenayah yang meraih keuntungan daripada kegiatan ini,” katanya ketika berucap pada operasi berkenaan.
Beliau turut mengakui Peru berdepan cabaran berkaitan pengeluaran bahan terlarang itu, memandangkan negara berkenaan merupakan pengeluar daun koka dan kokain hidroklorida kedua terbesar di dunia.
“Jangan kita lupa bahawa Peru merupakan pengeluar daun koka kedua terbesar di dunia dan pengeluar kokain hidroklorida kedua terbesar di dunia. Tahap kegiatan jenayah ini tentunya meningkat dengan kewujudan kumpulan penjenayah berkenaan,” katanya.
Sehubungan itu, Salcedo memberi amaran bahawa kumpulan jenayah kini tidak lagi mengehadkan kegiatan mereka kepada satu jenis jenayah sahaja.
“Pada masa lalu, organisasi jenayah sama ada terlibat dalam perlombongan haram, pengedaran dadah atau pemerdagangan manusia. Namun, sekarang mereka terlibat dalam kesemua kegiatan itu,” katanya.
Operasi berkenaan merupakan proses pemusnahan dadah ketujuh dan terakhir bagi tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan bahan terlarang yang dibakar oleh pihak berkuasa Peru sebanyak 64,867 kilogram.
Dadah yang dimusnahkan kebanyakannya terdiri daripada ganja, kokain dan ketamin, yang dirampas di beberapa wilayah termasuk Ayacucho, Huanuco, Tumbes dan Junin.
Peru merupakan antara negara utama pengeluar daun koka di dunia.
Daun koka menjadi bahan mentah utama dalam penghasilan kokain, manakala kegiatan pengedaran dadah sering dikaitkan dengan rangkaian jenayah terancang yang turut terbabit dalam pelbagai kegiatan haram rentas sempadan. – VIORY