
KUALA LUMPUR, 26 November – Kerjasama antara penyelidik, industri dan kerajaan perlu diperkukuh bagi memastikan hasil penyelidikan negara dapat diterjemahkan kepada pembangunan teknologi dan produk tempatan yang memenuhi keperluan sebenar negara.
- Penglibatan industri perlu bermula sejak awal penyelidikan untuk mengenal pasti cabaran sebenar dan membangunkan penyelesaian bersesuaian.
- Kejayaan R&D dinilai melalui penghasilan teknologi, harta intelek dan produk yang memberi nilai ekonomi serta manfaat kepada rakyat.
- Pelan Hala Tuju RDICE 2025–2030 menyelaras dasar, pembiayaan, pembangunan bakat dan kerjasama strategik bagi mempercepat penggunaan hasil penyelidikan.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohammad Yusof Apdal berkata, penglibatan industri tidak seharusnya terhad kepada pembiayaan penyelidikan, sebaliknya perlu bermula sejak peringkat awal bagi mengenal pasti cabaran sebenar dan membangunkan penyelesaian yang bersesuaian.
Menurut beliau, kejayaan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) bukan hanya diukur melalui jumlah pelaburan, tetapi juga keupayaan menghasilkan teknologi, harta intelek dan produk yang mampu memberikan nilai ekonomi serta manfaat kepada rakyat.
“Bawalah ilmu dan kepakaran yang dimiliki melangkaui batas makmal dan institusi, terjemahkannya kepada penyelesaian sebenar serta manfaat yang dapat dirasai oleh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan Top Research Scientists Malaysia (TRSM) 2026 anjuran Akademi Sains Malaysia (ASM), hari ini.
Dalam usaha memperkukuh sektor R&D, kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ketiga Belas menyasarkan peningkatan Perbelanjaan Kasar Penyelidikan dan Pembangunan (GERD) daripada 1.01 peratus kepada 2.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.
Pada masa sama, sumbangan Perbelanjaan R&D Sektor Perniagaan (BERD) disasarkan meningkat daripada kira-kira 51 peratus pada 2022 kepada 70 peratus menjelang 2030.
Bagi menyokong sasaran berkenaan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperkukuh Ekosistem Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Ekonomi (RDICE) menerusi Pelan Hala Tuju RDICE 2025 – 2030.
Pelan itu memberi tumpuan kepada penyelarasan dasar, pembiayaan, pembangunan bakat dan kerjasama strategik bagi mempercepat penggunaan hasil penyelidikan.
Selain itu, pembangunan bakat saintifik turut menjadi keutamaan bagi memastikan Malaysia mempunyai penyelidik yang mampu menghadapi perubahan teknologi dan menerajui bidang kepakaran masa hadapan.
Sehubungan itu, komuniti TRSM digalakkan memainkan peranan sebagai pemimpin ilmu, membimbing generasi penyelidik baharu serta memperkukuh hubungan antara institusi penyelidikan dengan industri.
Pada majlis berkenaan, sembilan penyelidik terkemuka negara menerima pengiktirafan TRSM 2026 sebagai menghargai kecemerlangan dan impak hasil penyelidikan masing-masing.
Dengan pengiktirafan terbaharu itu, jumlah keseluruhan penerima TRSM sejak diperkenalkan pada 2012 kini mencecah 219 orang.