
KUALA LUMPUR, 26 November – Pelaksanaan langkah perlindungan pantai memberi keutamaan kepada kawasan pesisir pantai yang mengalami hakisan kritikal, khususnya kawasan dengan kadar pengunduran garis pantai melebihi empat meter setahun.
- Perlindungan pantai dilaksanakan menerusi Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu yang mengambil kira ciri fizikal, aset, pembangunan dan kepentingan pemegang taruh.
- Kos pelaksanaan yang tinggi menyebabkan permohonan dinilai mengikut tahap hakisan, iaitu kritikal, ketara dan belum serius.
- Kawasan kritikal diberi keutamaan bagi mengelakkan pantai semakin mengecil akibat hakisan berterusan.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu (Integrated Shoreline Management Plan – ISMP) yang mengambil kira ciri fizikal pantai, aset, potensi pembangunan serta kepentingan pemegang taruh.
Bagaimanapun, kos pelaksanaan yang tinggi menyebabkan permohonan berkaitan perlu dinilai mengikut tahap keseriusan hakisan, iaitu kritikal, ketara dan belum serius.
“Kita sudah pasti dari segi kita mempunyai beberapa kategori sebenarnya yang kritikal, yang ketara dan juga yang belum serius dalam soal penghakisan pantai ini.
“Jadi selalunya, biasanya kita akan tumpukan kepada yang kritikal yang melibatkan pengurangan garis pantai yang cepat dengan kadar melebihi empat meter setahun yang melibatkan empat meter”, katanya di Dewan Rakyat.
Datuk Seri Abdul Rahman berkata, keutamaan itu penting bagi mengelakkan kawasan pantai semakin mengecil akibat hakisan yang berterusan.
Beliau menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Ahli Parlimen Tanjung Manis, Datuk Ir Yusuf Abd. Wahab dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.