
IPOH, 26 November – Skuad hoki negara mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-32, Sabtu ini.
- Malaysia seri 5-5 dengan Pakistan selepas Faizal Saari melengkapkan hatrik pada minit ke-58.
- Pakistan mensia-siakan kelebihan 4-2, menurut ketua jurulatih Herman Kruis.
- Brendon Carolan mahu anak buahnya memperkemas prestasi dan penguasaan bola menjelang aksi menentang Australia.
Kejayaan itu diraih selepas skuad negara mencatat keputusan seri 5-5 menentang Pakistan peringkat kumpulan di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, di sini, malam tadi (Khamis).
‘Speedy Tigers’ hanya memerlukan keputusan seri sebelum layak ke pentas akhir untuk bertemu pasukan Australia.
Skuad negara bermula garang apabila mendahului tirai jaringan seawal minit ke- tiga menerusi gol padang Azrai Aizad Abu Kamal.
Pakistan bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Ahmad Nadeem pada minit ke-13, sebelum pemain itu sekali lagi meledak gol kedua pasukan, dua minit kemudian.
Memasuki suku kedua, Malaysia memperkemas pemainan sebelum Marhan Jalil berjaya menyamakan kedudukan 2-2 menerusi sudut penalti.
Bersambung ke suku ketiga, Pakistan kembali mendahului menerusi gol padang Muhammad Ammad pada minit ke-32.
Hannan Shahid kemudian memberikan kelebihan buat pasukan pelawat menerusi gol keempat pada minit ke-48.
Faizal Saari kembali menceriakan penyokong di Ipoh dengan dua gol pantas hasil pukulan sudut penalti dan gol padang pada minit ke-50.
Pakistan sekali lagi berada di hadapan menerusi jaringan Sufyan Khan pada minit ke-57.
Harapan Pakistan ke pentas akhir musnah selepas Faizal Saari melengkapkan hatrik dengan gol kelima negara seminit kemudian sekaligus menamatkan perlawanan dengan keputusan seri 5-5.
Sementara itu, Ketua jurulatih Malaysia Brendon Carolan mahu anak buahnya meningkatkan prestasi serta membaiki penguasaan bola sekiranya mereka ingin memberikan saingan kepada Australia dalam perlawanan akhir Sabtu ini.
“Peningkatan prestasi yang ditunjukkan mereka dalam tempoh yang begitu singkat amat mengagumkan.
“Perlawanan ini juga sememangnya menarik untuk ditonton. Sukar untuk saya mengulas secara terperinci, namun keputusan seri ini satu keputusan yang baik, walaupun kedua-dua pasukan pastinya mengharapkan kemenangan,” katanya selepas tamat perlawanan.
Bagi ketua jurulatih Pakistan, Herman Kruis mengakui pasukannya telah membiarkan kemenangan terlepas setelah mensia-siakan kelebihan 4-2, yang akhirnya menyaksikan perlawanan berakhir dengan keputusan seri.
” Kami tewas disebabkan kelemahan sendiri. Apabila sudah mendahului perlawanan 4-2, kami sepatutnya mampu mengekalkan kelebihan itu sehingga tamat.
“Namun, dalam tempoh tersebut, kami hilang kawalan terhadap permainan akibat kesilapan sendiri,” katanya.
Malaysia akan berdepan Australia dalam perlawanan akhir Sabtu ini.
Perebutan tempat ketiga dan keempat menyaksikan pertembungan Pakistan dan Korea Selatan manakala Kanada dan Amerika Syarikat beraksi bagi kedudukan kelima dan keenam.