Perkukuh kesiapsiagaan, hadapi ancaman baharu

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 November- Setiap kementerian dan agensi perlu memperkukuh kesiapsiagaan serta keupayaan masing-masing dalam mendepani ancaman keselamatan baharu yang semakin kompleks, selaras dengan hala tuju Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2026-2030.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ancaman keselamatan kini merangkumi domain siber dan ruang angkasa, selain pertahanan sempadan negara.
  • MINDEF dan ATM akan terus memperkukuh keupayaan serta kesiagaan pertahanan negara.
  • Keselamatan negara tanggungjawab bersama, melalui penguatkuasaan dan kerjasama strategik seluruh kementerian, agensi serta masyarakat.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata ancaman bukan lagi sekadar melibatkan kedaulatan sempadan negara malah merangkumi keselamatan siber, sistem kewangan, infrastruktur kritikal dan keterjaminan bekalan makanan.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata dalam konteks Kementerian Komunikasi, kesiapsiagaan dan daya tahan infrastruktur telekomunikasi serta penyiaran negara perlu terus diperkukuh dalam mendepani ancaman baharu berkenaan.

“Keselamatan negara menuntut pendekatan menyeluruh, merentas kementerian, agensi, industri dan masyarakat demi menjamin kedaulatan negara serta kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Fahmi menghadiri Majlis Peluncuran Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2026–2030 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memperkukuh keupayaan dan kesiagaan pertahanan negara seiring dengan hala tuju dasar itu.

Beliau berkata kedaulatan negara bukan lagi semata-mata soal mempertahankan sempadan darat, udara dan maritim, tetapi turut meliputi kepentingan strategik negara dalam domain siber dan ruang angkasa.

“MINDEF akan terus memperkasakan pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Society (WOGOS) atas prinsip bahawa keselamatan dan kedaulatan negara bukan tanggungjawab pasukan keselamatan semata-mata, tetapi tanggungjawab kita bersama,” katanya.

Bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN), Saifuddin Nasution berkata kementerian itu bersama-sama seluruh agensi di bawahnya komited untuk menterjemahkan dasar berkenaan melalui pengukuhan keupayaan penguatkuasaan, kesiapsiagaan serta kerjasama strategik merentas kementerian dan agensi.

“Keselamatan negara adalah tanggungjawab bersama. Dalam mendepani apa jua perubahan dan cabaran, kedaulatan negara serta keselamatan dan kesejahteraan rakyat akan sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan MADANI,” katanya- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.