Hasil mineral Pahang cecah RM92.441 juta

Foto Facebook Wan Rosdy bin Wan Ismail

KUANTAN, 26 November – Hasil mineral merangkumi aktiviti perlombongan dan pengeluaran mineral menyumbang sebanyak RM92.441 juta kepada Negeri Pahang sehingga 24 November 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hasil royalti perlombongan meningkat kepada RM74.399 juta setakat 24 November 2026, berbanding RM63.468 juta pada 2025.
  • Emas menjadi penyumbang royalti terbesar, dengan kutipan RM48 juta setakat 24 November 2026.
  • Pelaburan Alliance Steel bernilai kira-kira RM5.6 bilion dan kilang aloi mangan bernilai RM1 bilion memperkukuh industri hiliran.
  • Kerajaan negeri memperketat penguatkuasaan melalui penggunaan doket dan pemantauan pencemaran sungai bagi mencegah ketirisan hasil serta melindungi bekalan air.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah tersebut meningkat berbanding RM80.232 juta yang direkodkan pada tahun lalu.

Menurutnya, hasil royalti perlombongan bagi mineral seperti bijih besi, bijih timah, bauksit, emas, galena, kaolin, mangan dan silika turut meningkat kepada RM74,399,097.78 setakat 24 November 2026 berbanding RM63,467,599.48 pada tahun 2025.

“Mineral emas merupakan penyumbang terbesar kepada kutipan royalti lombong bagi tahun 2025 dan 2026, iaitu sebanyak RM39.496 juta pada tahun 2025 dan RM48 juta sehingga 24 November lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Hasan Omar pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini.

Sementara itu, kerajaan negeri terus memperkukuh industri hiliran bagi meningkatkan nilai tambah sumber mineral serta sektor pembuatan negeri, antaranya melalui pelaburan Alliance Steel di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) bernilai kira-kira RM5.6 bilion dengan kapasiti pengeluaran 3.5 juta tan setahun.

Selain itu, cadangan pembangunan kilang pengeluaran aloi mangan di Gebeng dengan nilai pelaburan RM1 bilion turut diluluskan dan dijangka beroperasi pada tahun hadapan.

Dalam industri emas pula, Pahang Gold Sdn. Bhd., anak syarikat Pahang Mining Corporation (PMC), sedang meneroka penghasilan jongkong emas dan barang kemas bagi meningkatkan nilai tambah sumber emas tempatan.

Mengulas isu ketirisan hasil dan pencemaran sungai akibat aktiviti perlombongan, Datuk Seri Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri memperkukuh penguatkuasaan menerusi penggunaan doket bagi merekodkan pengeluaran mineral selain tindakan undang-undang terhadap pihak yang melanggar peraturan.

Menurutnya, pendekatan tersebut lebih berkesan berbanding kompaun semata-mata, di samping pemantauan berkala terhadap pencemaran sungai bagi memastikan bekalan air kepada penduduk tidak terjejas.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.