Ringgit dibuka mendatar berbanding dolar AS

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 27 November – Ringgit dibuka mendatar berbanding dolar AS pada Jumaat berikutan sentimen berhati-hati dalam pasaran pertukaran asing yang terus menyokong permintaan terhadap mata wang itu dalam ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasaran pertukaran asing dijangka kekal berhati-hati susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat dan kebimbangan terhadap ekonomi global.
  • Harga minyak Brent meningkat selepas serangan terhadap loji penapisan Arab Saudi menjejaskan sebahagian operasinya.
  • Jangkaan kenaikan kadar Fed dan permintaan terhadap dolar AS dijangka mengehadkan dagangan ringgit antara RM4.10 hingga RM4.12.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan tidak berubah pada 4.1135/1200 berbanding dolar AS daripada 4.1135/1175 semasa ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran pertukaran asing dijangka kekal berhati-hati berikutan ketegangan geopolitik yang berterusan di Asia Barat dan kebimbangan mengenai perkembangan ekonomi global.

Katanya pasaran kewangan Amerika Syarikat (AS) ditutup pada Khamis sempena sambutan Hari Kesyukuran manakala pasaran lain terus beroperasi, dengan harga minyak mentah Brent meningkat 2.07 peratus kepada US$96.57 setong.

Peningkatan itu susulan serangan terhadap sebuah loji penapisan minyak Arab Saudi di wilayah selatan Jazan, yang menyebabkan sebahagian operasi kemudahan itu dihentikan sementara.

Beliau berkata konflik di Asia Barat terus menjejaskan bekalan bahan api manakala pasaran telah mengambil kira jangkaan kenaikan 25 mata asas Kadar Dana Persekutuan AS pada mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) pada Disember.

“Selain itu, terdapat kebimbangan mengenai pelaburan berlebihan dalam kecerdasan buatan (AI) serta pendirian tegas Kongres dan pentadbiran AS terhadap China.

“Oleh itu, kami menjangka pasaran pertukaran asing akan terus berhati-hati, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam menjangka ringgit diniagakan dalam jajaran kecil antara RM4.10 dan RM4.12 berbanding dolar AS hari ini.

Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding euro kepada 4.5121/5192 daripada 4.5133/5177 semasa ditutup pada Khamis, naik berbanding pound kepada 5.3912/3997 daripada 5.3924/3976 dan tinggi berbanding yen Jepun kepada 2.5824/5866 daripada 2.5834/5860.

Ringgit diniagakan kebanyakannya mendatar berbanding mata wang ASEAN.

Ia menurun berbanding baht Thailand kepada 12.0825/1095 daripada 12.0712/0875, bagaimanapun tidak berubah berbanding dolar Singapura kepada 3.1878/1931 daripada 3.1878/1911.

Mata wang tempatan turut mendatar berbanding peso Filipina kepada 6.45/6.46 dan rupiah Indonesia kepada 224.0/224.4- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.