
KUALA LUMPUR, 26 November – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disenaraikan sebagai antara pemimpin paling berpengaruh di Asia dalam Indeks Kuasa Asia 2026 oleh Institut Lowy.
- Anwar Ibrahim menduduki tempat kelapan dengan 46 mata dalam Indeks Kuasa Asia 2026.
- Beliau antara tiga pemimpin ASEAN dalam senarai itu, bersama Lawrence Wong dan To Lam.
- Penarafan Institut Lowy berdasarkan tinjauan pakar mengenai keberkesanan pemimpin memajukan kepentingan diplomatik negara masing-masing.
Laporan itu meletakkan Datuk Seri Anwar di kedudukan kelapan dengan skor 46 mata, menurut hantaran di laman Facebook ABC Asia Australia.
Datuk Seri Anwar juga merupakan seorang daripada hanya tiga pemimpin ASEAN yang tersenarai, bersama-sama Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong yang menduduki tempat ketiga dengan 74 mata dan Presiden Vietnam To Lam di tempat ketujuh dengan 50 mata.
Presiden China Xi Jinping mendahului penarafan kepimpinan politik dalam Indeks Kuasa Asia 2026 dengan mencatatkan skor 100 daripada 100 bagi keberkesanan diplomatik di peringkat global.
Perdana Menteri India Narendra Modi menduduki tempat kedua, manakala Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi dan Perdana Menteri Australia Anthony Albanese masing-masing di tempat keempat dan kelima.
Presiden Korea Selatan Lee Jae-Myung menduduki tempat keenam dalam senarai itu.
Penarafan yang disusun oleh badan pemikir Australia, Institut Lowy itu berdasarkan tinjauan dalam kalangan pakar yang menilai keberkesanan pemimpin politik dalam memajukan kepentingan diplomatik negara masing-masing di persada dunia.
Penarafan kepimpinan politik itu merupakan sebahagian daripada Indeks Kuasa Asia yang lebih menyeluruh, yang mengukur kuasa dan pengaruh 27 negara dan wilayah di rantau berkenaan. -BERNAMA