
GOMBAK, 16 Jun – Program Gagasan Rumpun Selangor (GRS) 2.0 berjaya menjelajah lima daerah dengan nilai projek pembangunan yang diluluskan mencecah RM5 juta setakat ini.
- Program Gagasan Rumpun Selangor 2.0 dilaksanakan bersama Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
- Tumpuan kepada projek memberi manfaat langsung kepada rakyat mengikut keperluan setempat.
- Rizam Ismail mengiringi Raja Muda melawat industri karipap pusing dan pembuatan parang.
- Raja Muda menyaksikan penyerahan sumbangan RM10,000 kepada setiap pengusaha terbabit.
Exco Perpaduan dan Kemajuan Desa Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, program yang dilaksanakan bersama Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah itu memberi tumpuan kepada projek yang memberi manfaat langsung kepada rakyat mengikut keperluan setempat.
“Daerah kelima ini nilaian projek RM5 juta diluluskan dan kita anggarkan satu daerah RM1 juta nilai projek tidak termasuk bantuan-bantuan inisiatif dan barangan galakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang berkenan melawat industri karipap pusing di sini.
Terdahulu, baginda turut berkenan melawat industri pembuatan parang di Ampang dan menyempurnakan majlis menandatangani plak perasmian.
Dalam lawatan itu, Raja Amir Shah berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan kerajaan Selangor sebanyak RM10,000 kepada setiap pengusaha terbabit.