
KUALA LUMPUR, 16 Jun– Pencapaian Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) yang mencecah 64.6 peratus mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh kedudukan sosioekonomi Bumiputera.
- Pelaksanaan awal program menunjukkan momentum positif dan menandakan pelan berada di landasan pelaksanaan yang tepat.
- Kerajaan perlu meneruskan baki program berimpak tinggi dengan lebih cekap demi memastikan kelestarian ekonomi Bumiputera.
- Penekanan pada TVET berteknologi tinggi, peluang pekerjaan mahir dan pemerkasaan PKS penting untuk mobiliti sosioekonomi dan daya saing global.
Kejayaan pelaksanaan 160 daripada 493 program yang direncanakan juga menunjukkan momentum awal yang positif.
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Madya Dr Shahsuzan Zakaria berkata, pencapaian itu memberi petunjuk bahawa pelaksanaan PuTERA35 berada di landasan yang tepat.
“Pencapaian ini merupakan satu momentum awal yang begitu positif membuktikan bahawa kesungguhan dan peranan oleh pihak kerajaan.
Namun, fokus utama kini adalah kita ingin memastikan bahawa baki program berimpak tinggi itu dapat diteruskan dengan lebih cekap demi untuk kita memastikan kelestarian ekonomi Bumiputera,” katanya kepada RTM.
Menurut beliau, pelaksanaan program berkenaan berpotensi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi selain memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera.
Dalam masa sama, pembangunan bakat menerusi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berteknologi tinggi perlu terus diberi perhatian bagi memenuhi keperluan ekonomi masa hadapan.
Langkah tersebut diyakini mampu meningkatkan mobiliti sosioekonomi, memperkukuh daya tahan kewangan serta melahirkan lebih ramai tenaga kerja Bumiputera yang berdaya saing di peringkat global.