
TANAH MERAH, 20 November – Seorang lelaki 38 tahun ditahan bersama 175 kilogram (kg) daun ketum dan 400 botol ubat batuk menerusi Op Taring Wawasan Kelantan di kawasan semak Kampung Chat Rimau, Tanah Merah kira-kira 7.30 malam pada Khamis.
- Pemeriksaan lanjut menemui bungkusan daun ketum dan ubat batuk sirap Dynadryl di kawasan semak selepas suspek membawa anggota polis.
- Antara barang dirampas alat penimbang, sekeping kanvas dan telefon bimbit; keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM33,000.
- Suspek negatif ujian air kencing awal; kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952, diserahkan ke unit narkotik IPD.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Datuk Ahmad Radzi Hussain dalam kenyataan memaklumkan, operasi bermula dengan operasi di sebuah rumah Kampung Pondok Baru, Padang Siam.
“Pemeriksaan awal ke atas suspek juga tidak menemukan apa-apa barang salah. Hasil soal siasat awal, lelaki berkenaan membawa anggota polis ke kawasan semak di Kampung Chat Rimau.
“Pemeriksaan lanjut menemukan 700 bungkusan daun ketum seberat 175 kilogram dan 400 botol ubat batuk jenis sirap Dynadryl dengan isipadu 100 mililiter (ml) setiap satu,” menurut kenyataan itu.
Antara barangan yang dirampas termasuk sebuah alat penimbang, sekeping kanvas dan sebuah telefon bimbit. Kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM33,000.
Siasatan awal mendapati bekalan daun ketum diperoleh daripada seorang kenalan yang dikenali sebagai ‘Pok Jak’, manakala daun ketum dan ubat batuk berkenaan dipercayai dijual secara pukal kepada pelanggan dengan harga RM400 untuk 10 kg manakala ubat batuk dengan harga RM10 untuk satu botol.
Bagaimanapun suspek yang menjalani ujian saringan awal air kencing didapati negatif dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Suspek bersama semua barang rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tanah Merah untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Operasi Op Taring Wawasan Kelantan dilaksanakan Cawangan Risik Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, Kelantan.