
KUALA LUMPUR, 16 Jun – Pertumbuhan lebih agresif dalam segmen teknologi digital dan robotik disasarkan penyedia perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas bersepadu (OGSE), Elsa Berhad sebagai pemacu utama perniagaan masa hadapan bertujuan memperluaskan perkhidmatan teknologi kepada sektor minyak dan gas serta industri lain.
- Elsa optimis akan mengumumkan beberapa kontrak baharu dalam tempoh 24 bulan berkaitan rumusan digital dan industri minyak dan gas.
- Penyenaraian menyaksikan dagangan aktif, saham meningkat selepas IPO dan permodalan pasaran dianggarkan RM140 juta.
- Penjenamaan sebagai syarikat pertama daripada 20 syarikat Bumiputera terpilih di bawah inisiatif TERAJU BSAF.
- Sektor minyak dan gas kekal utama, manakala segmen digital dan robotik membuka peluang pertumbuhan di pelbagai industri.
Ketua Jabatan Digital, Robotik, Kejuruteraan dan Bakat Elsa, Chow Sheng Jon memaklumkan syarikat optimis untuk mengumumkan beberapa kontrak baharu dalam tempoh 24 bulan akan datang, khususnya melibatkan rumusan digital serta perkara yang berkait rapat dengan industri minyak dan gas.
“Selaras dengan pelancaran prospektus kami, antara perkara yang telah dimaklumkan kepada umum termasuk hasrat untuk mengembangkan segmen digital dan robotik, yang merupakan komponen penting dalam visi jangka panjang syarikat.
“Jadi, kami akan melihat kepada perkembangan seterusnya dan diharap dapat mengumumkan perkembangan berkaitan projek atau kontrak yang bakal diperoleh dalam tempoh terdekat,” katanya dalam sidang media di Bursa Malaysia.
Pada sesi penyenaraian itu, saham Elsa dibuka pada harga 25 sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 23 sen sesaham yang kemudian meningkat 27.5 sen sebelum diniagakan pada 26 sen pada pukul 9.30 pagi selepas lebih 35 juta saham bertukar tangan dan permodalan pasaran Elsa berjumlah RM140 juta berdasarkan harga dagangan.
Penyenaraian itu juga menandakan yang pertama daripada 20 syarikat Bumiputera generasi baharu berpotensi tinggi yang dikenal pasti oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) menerusi Dana Pemilikan Strategik Bumiputera (BSAF), selaras aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Sementara itu, Pengarah Urusannya, Daniel Ilham Khong berkata rekod pertumbuhan syarikat yang konsisten beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan komitmen Elsa untuk terus berkembang secara agresif.
“Selain sektor minyak dan gas yang kekal menjadi pasaran utama syarikat, segmen digital dan robotik turut membuka peluang baharu dalam pelbagai industri lain.
“Pada hari ini kami masih banyak terlibat dalam industri minyak dan gas. Pelanggan utama kami kebanyakannya merupakan pemain dalam sektor minyak dan gas.
“Kami juga memiliki pendedahan kepada bidang digital. Jadi saya juga sangat teruja dengan peluang dalam bidang digital dan robotik di luar industri minyak dan gas,” katanya.