
CYBERJAYA, 27 November – Telekom Malaysia (TM) meneroka pembangunan teknologi robotik termaju menerusi kerjasama strategik dengan AGIBOT dan Swancor Advanced Material bagi memperluas penggunaannya dalam sektor perusahaan dan kediaman di Malaysia.
- TM bekerjasama dengan AGIBOT membangunkan platform robotik tempatan serta Swancor memasarkan dan mengkomersialkan robot AI fizikal.
- Robotik berpotensi digunakan dalam pemantauan keselamatan, pengurusan fasiliti dan pemeriksaan, termasuk di pusat data.
- Kerjasama merangkumi penyelidikan, latihan teknikal dan pemindahan teknologi untuk memperkukuh kepakaran robotik tempatan.
Kerjasama dengan AGIBOT melibatkan pembangunan platform robotik di Malaysia, manakala Swancor akan bekerjasama dengan TM dalam pemasaran dan pengkomersialan robot berasaskan kecerdasan buatan (AI) fizikal untuk pengguna tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Amar Huzaimi Md Deris berkata, kerjasama itu membuka peluang penerokaan aplikasi robotik dalam pelbagai operasi perniagaan.
“Ini merupakan kesinambungan usaha kami merealisasikan aspirasi untuk menjadi peneraju digital, dengan memanfaatkan keupayaan yang telah dibangunkan bagi memperkasa inovasi baharu untuk pengguna dan sektor perniagaan di Malaysia.
“Ini merupakan antara potensi awal yang sedang diteroka.
“Sebagai contoh, dalam sektor perniagaan, kami melihat peluang penggunaan teknologi ini dalam pemantauan keselamatan, pengurusan fasiliti dan kerja-kerja pemeriksaan, termasuk di pusat data,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis pengumuman kerjasama strategik TM bersama AGIBOT dan Swancor Advanced Material, di sini, hari ini.
Platform berkenaan akan disokong infrastruktur digital TM, termasuk TM Cloud Alpha Edge, kemudahan pengkomputeran berprestasi tinggi berasaskan unit pemprosesan grafik (GPU) serta AI Foundry bagi membolehkan teknologi berkenaan disepadukan dan disesuaikan mengikut keperluan tempatan.
Bagi segmen kediaman, TM akan memanfaatkan rangkaian Unifi untuk meneroka pasaran robot pembantu pintar bagi menyokong keselamatan, pembelajaran dan tugasan harian.
Kerjasama dengan AGIBOT turut merangkumi penyelidikan bersama, latihan teknikal dan pemindahan teknologi dengan penglibatan bahagian penyelidikan dan pembangunan (P&P) TM serta Universiti Multimedia (MMU) bagi memperkukuh kepakaran tempatan dalam bidang robotik.