
PUTRAJAYA, 27 November – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan undang-undang terhadap Google susulan dakwaan kegagalan syarikat itu menangani kandungan memudaratkan di platform YouTube.
- Google dipercayai lambat menangani kandungan perjudian dalam talian yang dilaporkan MCMC, dengan sesetengah tindakan mengambil masa lebih 90 hari.
- MCMC mahu memastikan YouTube mematuhi kerangka kawal selia sedia ada, manakala perkara itu diserahkan kepada proses perundangan.
- Tindakan kawal selia itu tidak menjejaskan pelaburan Google bernilai RM15 bilion dan bertujuan melindungi rakyat daripada kandungan memudaratkan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Google dipercayai tidak mengambil langkah segera terhadap kandungan berulang berkaitan perjudian dalam talian yang telah dilaporkan MCMC.
“Terdapat sejumlah kandungan berkaitan perjudian dalam talian yang gagal ditangani oleh YouTube khususnya dan Google secara amnya dengan sewajarnya. Tindakan terhadap kandungan berkenaan sangat lewat, malah ada yang mengambil masa lebih 90 hari, manakala status sebahagiannya masih belum diketahui sehingga kini.
“Pihak Google dan YouTube masih gagal mematuhi perkara berkenaan. Justeru, MCMC mengambil langkah ini bagi memastikan YouTube mematuhi kerangka kawal selia sedia ada dengan sewajarnya.
“Memandangkan perkara ini telah difailkan di mahkamah, kita serahkan kepada proses perundangan,” katanya pada sidang media mingguan di Putrajaya.
Datuk Seri Fahmi berkata, tindakan MCMC itu tidak menjejaskan pelaburan Google bernilai RM15 bilion di Malaysia kerana ia melibatkan aspek kawal selia dan tiada kaitan dengan pelaburan syarikat berkenaan.
“Tidak. Kedua-duanya merupakan perkara berbeza kerana dari sudut kawal selia, kerajaan berpandangan rakyat Malaysia tidak seharusnya didedahkan kepada kandungan memudaratkan seperti yang diperuntukkan dalam Akta Keselamatan Dalam Talian,” katanya.
Datuk Seri Fahmi berkata, penentuan kandungan memudaratkan turut merujuk kepada Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 serta Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian (Online Safety Committee).