
PARIS, 27 November – Pihak berkuasa Perancis mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang warga Jerman, Marvin Reuter, yang disyaki terbabit menyebabkan kematian tanpa niat serta membekalkan bot kepada sindiket penyeludupan migran merentasi Selat Inggeris ke Britain.
- Marvin Reuter, pengarah urusan MaRe Boote, disyaki membekalkan bot kembung kepada sindiket penyeludupan migran merentasi Selat Inggeris.
- Lima individu ditahan dan disyaki melakukan kesalahan berkaitan penyeludupan manusia, kematian tanpa niat serta membahayakan nyawa.
- Reuter mencabar proses ekstradisi ke Perancis dan dikehendaki hadir di mahkamah Lille sebelum awal Januari.
Menurut laporan hasil siasatan bersama beberapa organisasi media termasuk akhbar harian Perancis, Le Monde dan BBC, Reuter merupakan pengarah urusan MaRe Boote, sebuah syarikat kecil di barat Jerman yang disyaki menjadi antara pembekal utama bot kembung kepada sindiket penyeludupan manusia yang mengatur perjalanan merentasi Selat Inggeris.
Pendakwa raya di bandar Lille, Samuel Finielz mengesahkan bahawa lima individu telah ditahan, manakala seorang warga Jerman turut ditahan sementara di negaranya berhubung siasatan yang bermula pada Mei tahun lepas mengenai kegiatan penyeberangan Selat Inggeris secara haram dan kejadian bot karam.
Finielz berkata, lima individu yang kini ditahan reman sementara menunggu perbicaraan disyaki melakukan beberapa kesalahan, termasuk membantu kemasukan dan menetap secara haram sebagai sebahagian daripada kumpulan jenayah terancang, menyebabkan kematian tanpa niat, menyebabkan kecederaan tanpa niat serta membahayakan nyawa orang lain.
BBC melaporkan bahawa Reuter kini sedang mencabar proses ekstradisinya ke Perancis dan dikehendaki hadir di mahkamah Lille sebelum awal Januari depan.
Bagaimanapun, pertuduhan rasmi terhadapnya hanya boleh dikemukakan selepas beliau diekstradisi ke Perancis.-AFP