Semak semula larangan kemasukan Albanese – PBB

Foto AFP

GENEVA, 27 November – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat menggesa Costa Rica supaya segera mempertimbangkan semula keputusan melarang kemasukan pelapor khas PBB mengenai hak rakyat Palestin, Francesca Albanese, ke negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk, menyuarakan kebimbangan terhadap keputusan Costa Rica menolak kemasukan Francesca Albanese.
  • Turk berkata larangan itu sukar diselaraskan dengan komitmen lama Costa Rica terhadap hak asasi manusia.
  • PBB menggesa pihak berkuasa Costa Rica mempertimbangkan semula keputusan dan membenarkan Albanese memasuki negara itu.

Larangan terhadap kemasukan Albanese, yang dijadual menerima ijazah kehormat daripada Universiti Costa Rica, dibuat atas alasan keselamatan negara susulan dakwaan bahawa beliau tertakluk kepada amaran antarabangsa berkaitan kegiatan keganasan.

Albanese, seorang peguam dari Itali, merupakan pelapor khas PBB mengenai situasi hak asasi manusia di Palestin yang diduduki sejak 1967.

Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk, berkata beliau amat bimbang dengan keputusan Costa Rica menolak kemasukan Albanese atas alasan keselamatan negara.

“Perkara ini sukar diselaraskan dengan komitmen Costa Rica yang telah lama terhadap hak asasi manusia. Kami menggesa pihak berkuasa supaya segera mempertimbangkan semula keputusan itu dan membenarkan beliau memasuki negara berkenaan.

“Kami sedang berhubung dengan pihak berkuasa Costa Rica mengenai perkara ini,” katanya menerusi kenyataan yang disampaikan oleh pejabatnya kepada AFP.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.