
PUTRAJAYA, 27 November – Malaysia mendapat pengiktirafan ulama antarabangsa sebagai kerajaan pertama menganjurkan Majlis Sama’ Hadis Sunan at-Tirmizi dan asy-Syama’il al-Muhammadiyah.
- Perkara itu dimaklumkan kepada Jemaah Menteri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
- Lebih 40 ulama antarabangsa menyertai majlis berkenaan, sekali gus menjadi kebanggaan negara.
- Majlis berlangsung selama 11 hari, dari 13 hingga 23 November, di Masjid Putra, Putrajaya.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata perkara itu dimaklumkan kepada Jemaah Menteri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dalam mesyuarat hari ini.
Beliau berkata, penganjuran majlis berkenaan merupakan inisiatif pertama seumpamanya di peringkat negara dan mendapat pengiktirafan ulama yang menghadirinya.
“Ini merupakan majlis pertama yang dianjurkan oleh sebuah kerajaan, di mana para ulama yang hadir mengakui inilah kerajaan pertama yang bersedia untuk mengadakan majlis seumpama ini.
“Kita sudah biasa dengan majlis khatam al-Quran dan hafazan, tetapi bagi Majlis Sama’ Hadis, ini merupakan usaha pertama seumpamanya oleh sebuah kerajaan yang mendapat pengiktirafan ulama yang hadir.
“Lebih 40 ulama antarabangsa turut serta dalam majlis tersebut dan ini merupakan satu kebanggaan untuk negara kita,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.
Majlis berkenaan berlangsung selama 11 hari, bermula 13 hingga 23 November lepas di Masjid Putra, Putrajaya.