
PUTRAJAYA, 27 November – Pelaksanaan 17 inisiatif keselamatan yang sebelum ini dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) akan diperluas kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF) susulan kes penahanan pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkaitan dadah.
- Jemaah Menteri bersetuju memperluas 17 inisiatif keselamatan KDN dan MOT kepada MINDEF.
- Langkah itu bertujuan menutup kelompangan keselamatan di pangkalan udara serta fasiliti dan premis di bawah seliaan MINDEF.
- Kerjasama KDN, MOT dan MINDEF diperlukan untuk melaksanakan inisiatif itu secepat mungkin serta mencegah penyalahgunaan aset ketenteraan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, langkah itu bagi menutup kelompangan keselamatan di pangkalan udara serta fasiliti dan premis di bawah seliaan MINDEF.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan sebelum ini hanya dilaksanakan di lokasi strategik termasuk lapangan terbang, dan belum diperluas ke fasiliti serta premis di bawah pentadbiran MINDEF.
“Tujuh belas inisiatif itu dilihat memberi kesan positif, khususnya dalam mengesan pihak yang cuba menyalahgunakan saluran atau laluan berkenaan.
“Bagaimanapun, inisiatif itu sebelum ini tidak meliputi pangkalan udara serta fasiliti dan premis di bawah pentadbiran MINDEF.
“Jemaah Menteri bersetuju supaya 17 inisiatif yang dilaksanakan KDN dan MOT diperluas kepada MINDEF untuk dilaksanakan di bawah kementerian berkenaan,” katanya pada sidang media mingguan di Putrajaya.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Fahmi berkata, kegiatan yang dikaitkan dengan kes berkenaan dipercayai telah berlaku sejak 2024 berdasarkan maklumat diperoleh ketika proses siasatan.
Justeru, katanya, kerajaan perlu memastikan aset ketenteraan yang sepatutnya digunakan bagi tujuan pertahanan negara tidak disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab.
“Kelompangan ini perlu ditutup segera. Saya percaya kerjasama antara KDN, MOT dan MINDEF dapat memastikan pelaksanaan inisiatif berkenaan dilakukan secepat mungkin, insya-Allah,” katanya.